16.6.09

SUnnah dalam walimatul urus

Assalammualaikum..
sekadar menyebar2kan maklumat..


Mewujudkan sebuah perkahwinan adalah merupakan satu langkah yang sangat murni dan sangat-sangat dituntut oleh agama yang fitrah. Perkahwinan atau ikatan pernikahan adalah sebuah sunnah yang mulia yang telah dilakukan oleh para Nabi dan Rasul serta generasi awal dan akhir yang mengikuti petunjuk mereka.

Perkahwinan adalah sebuah fitrah yang telah sedia ditanamkan ke dalam jiwa-jiwa manusia seluruhnya. Oleh sebab itu, Islam sangat-sangat menggalakkan umatnya untuk berkahwin. Ini tidaklah seperti mana yang berlaku kepada sebahagian agama seperti Kristian yang menggalakkan kerahiban, dan pertapaan para sami dari agama budha dan seumpamanya yang melarang perkahwinan. Malahan sebenarnya sebuah perkahwinan merupakan asas pembentukan sesebuah masyarakat yang harmoni. Dengan perkahwinan, jiwa-jiwa menjadi tenang, hati menjadi tenteram, populasi manusia semakin bertambah disebabkan oleh sebuah ikatan percintaan yang halal lagi sistematik. Sekaligus, ikatan perkahwinan dapat mengawal dari berlakunya pelbagai bentuk gejala yang tidak sihat seperti perzinaan, perbuatan homoseksual dan juga pelacuran sebagaimana yang berlaku di era zaman jahiliyyah sebelum datangnya Islam ke tanah Arab dan kini banyak berlaku di negara-negara barat pula.

Dengan izin dari Allah Subhanhu wa Ta’ala, tulisan ini cuba mengupas sebahagian daripada juzuk perkahwinan yang dimaksudkan. Tulisan ini bakal difokuskan kepada skop perlaksanaan majlis perkahwinan atau disebut sebagai walimatul urus.

Penulis terlintas untuk menulis berkenaan dengan topik ini adalah disebabkan melihat fenomena yang banyak berlaku pada akhir-akhir ini di mana majlis-majlis perkahwinan rata-ratanya semakin meriah tetapi pelik yang dilengkapi dengan kepelbagaian acara. Malah, ia dijadikan sebagai sebuah kebanggan bagi sesebuah pasangan pengantin baru sekiranya mereka berupaya mengadakan majlis perkahwinan mereka secara besar-besaran dengan disertai pelbagai juadah makanan dan acara tertentu yang menarik perhatian.

Ini termasuklah pelbagai bentuk makanan yang dihias dengan pelbagai rupa dan dimeriahkan lagi dengan upacara persandingan, muzik, tari-tarian dan nyanyi-nyanyian, upacara potong kek, adat menyarung cincin, dan seumpamanya. Bentuk upacara seperti ini kelihatannya begitu menyukarkan dan memerlukan perbelanjaan yang sangat besar. Apakah ia merupakan sebuah tuntutan di dalam agama atau sebaliknya, atau bagaimana.

Maka di sini timbullah sebuah persoalan, iaitu sejauh manakah sebenarnya majlis perkahiwnan yang benar-benar dianjurkan oleh Syari’at sebagaimana yang ditunjukkan oleh al-Qur’an dan as-Sunnah yang sahih? Adakah majlis perkahwinan itu perlu diadakan dengan pelbagai aturcara seperti upacara sarung cincin, persandingan, iringan muzik, dan sesi mengambil gambar? Selanjutnya, adakah bentuk-bentuk aturcara walimah seperti ini benar-benar menepati kehendak syari’at dan merupakan suatu yang dibenarkan atau sebaliknya?

Dengan itu, maka tulisan ini pun disiapkan dan insyaAllah tulisan ini akan cuba menyampaikan dan menggariskan bentuk majlis perkahwinan (walimatul urus) yang bertepatan dengan agama kita yang suci lagi murni. Sekaligus melihat sejauh manakah majlis perkahwinan masyarakat kita ini yang sebenarnya telah banyak ditokok tambah dengan pelbagai bentuk perbuatan yang mungkar lagi bercanggah dengan syari’at. Lebih parah, ia turut menyusahkan kebanyakan pasangan yang ingin membina mahligai rumahtangga mereka masing-masing kerana diikat dengan perkara-perkara seperti itu.

Dengan mengetahui yang mana yang realiti lagi sahih daripada sunnah, maka seterusnya tiada masalah untuk kita membezakan di mana sebenarnya yang mungkar, yang ditokok tambah dan seterusnya kita berupaya menjadikan sebuah majlis perkahwinan itu adalah sebuah majlis yang berhak mendapat keberkahan dan redha dari Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan memisahkannya dari apa yang tidak disyari’atkan (serta yang terlarang).

Definisi Walimatul urus

Menurut Imam ash-Shan’ani:

Kata walimah (وَلِيْمَة) diambil dari kata asal (ولم) yang bererti perhimpunan, kerana pasangan suami isteri (pada ketika itu) berkumpul sebagai mana yang dikatakan oleh imam az-Zuhri dan yang lainnya. Bentuk kata kerjanya adalah awlama yang bermakna setiap makanan yang dihidangkan untuk menterjemahkan kegembiraan. Dan walimatul urus adalah walimah untuk pernikahan yang menghalalkan hubungan suami isteri dan perpindahan status kepemilikan. (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 724, Darus Sunnah)

Menurut Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim:

Al-Walimah ertinya adalah makanan yang biasa disajikan (dihidangkan) pada pesta (majlis) pernikahan secara khusus. (Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 310, Pustaka Ibnu Katsir)

Dari dua penjelasan ini dapat kita fahami bahawa yang dimaksudkan dengan walimatul urus itu adalah jamuan makan yang diadakan disebabkan berlangsungnya ikatan perkahwinan (pernikahan).

Ini adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas radhiyallahu ‘anhu, di mana beliau berkata:

“Ketika tiba waktu pagi hari setelah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjadi seorang pengantin dengan Zainab bin Jahsy, beliau mengundang orang-orang, lalu mereka dijamu dengan makanan dan setelah itu mereka pun bersurai.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1428)

Juga perkataan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada ‘Abdurrahman bin ‘Auf apabila Nabi mengetahui ‘Abdurrahman baru sahaja bernikah:

“Laksanakanlah walimah walaupun hanya dengan seekor kambing.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5169)

Dari Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

“Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menikahi seorang perempuan, beliau mengutuskan aku untuk mengundang beberapa orang untuk makan.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 3219)

Hukum Mengadakan Walimatul Urus

Imam ash-Shan’ani rahimahullah menjelaskan:

“Imam Ahmad berkata, “Walimah itu hukumnya sunnah”. Menurut jumhur, walimah itu disunnahkan (mandub). Ibnu Baththal berpendapat, “Aku tidak tahu apabila ada ulama yang mewajibkan, mungkin dia tidak tahu perbezaan ulama tentang hukum tersebut”.

Jumhur mengatakan hukumnya sunnah berdasarkan pendapat asy-Syafi’i rahimahullah.” (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 726, Darus Sunnah)

Manakala sebahagian pendapat mengatakannya sebagai wajib seperti pendapat mazhab Zahiri sebagaimana yang dijelaskan di dalam Subulus Salam, asy-Syafi’i di dalam al-Umm, dan juga pendapat Syaikh al-Albani di dalam Adabuz Zifaf.

Ada pun pendapat yang terpilih adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibnu Qudamah rahimahullah:

“Tiada perbezaan pendapat di antara ahli ilmu, bahawasanya hukum walimah di dalam majlis perkahwinan adalah sunnah dan disyari’atkan (sangat dituntut), bukan wajib.” (Ibnu Qudamah, al-Mughni, jil 7, m/s. 2)

Siapa Yang Mengadakan Walimah

Walimah dilaksanakan dan diselenggarakan oleh Suami. Ini adalah sebagaimana perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri dan turut dicontohi oleh para sahabat-sahabatnya yang lain.

Dari Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

“Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menikahi seorang perempuan, beliau mengutuskan aku untuk mengundang beberapa orang untuk makan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, at-Tirmidzi, no. 3219)

Juga dari Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau menjelaskan:

“‘Abdurrahaman berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku baru sahaja bernikah dengan seorang wanita dengan mahar satu nawat emas (emas sebesar biji kurma)”. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Semoga Allah memberkahimu, adakanlah walimah walau pun hanya dengan menyembelih seekor kambing”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5169)

Berdasarkan hadis ini, Rasulullah telah memerintahkan ‘Abdurrahman bin ‘Auf supaya mengadakan walimah.

Walau pun begitu, walimah tidaklah semestinya dilakukan dengan seekor kambing tetapi ia dilakukan bersesuaian dengan kemampuan suami. Ini adalah kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri pernah melaksanakan walimah untuk Shafiyah dengan menyediakan campuran kurma tanpa biji yang dicampur dengan keju dan tepung di atas sumbangan para sahabat yang hadir. (Rujuk Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2048)

Waktu Walimah

Imam al-Mawardi dari mazhab asy-Syafi’i menjelaskan bahawa waktunya adalah setelah selesai akad pernikahan dan setelah kedua pasangan bersama.

Ibnu as-Subki berkata:

“Yang diriwayatkan dari perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa walimah itu diselenggarakan setelah berhubungan (pasangan bersama), berdasarkan hadis pernikahan di antara Nabi dengan Zainab binti Jahsy iaitu berpandukan perkataan Anas “di pagi harinya” (rujuk hadis di atas), iaitu ketika Nabi menjadi pengantin dengan Zainab, beliau mengundang kaum muslimin, perbuatan Nabi ini dijadikan bab oleh al-Baihaqi sebagai “Bab Waktu Walimah”. (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 727, Darus Sunnah)

Menurut Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, walimah tidak diadakan ketika perjalanan akad nikah berlangsung atau sebaik akad nikah, tetapi adalah setelah pasangan bersama (bersetubuh). (Rujuk: Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 311, Pustaka Ibnu Katsir)

Begitu juga sebagaimana yang dijelaskan oleh Amru Abdul Mun’im Salim:

“Seseorang hendaklah menyelenggarakan walimah setelah ia berkumpul dengan isterinya.” (Amru Abdul Mun’im Salim, Panduan Lengkap Nikah Menuju Keluarga Sakinah, m/s. 177, Dar an-Naba’)

Hukum Menghadiri Undangan Walimah

Hukum menghadiri undangan walimah adalah wajib. Ini adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Apabila seseorang di antara kamu diundang ke majlis walimah, hendaklah dia menghadirinya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5173)

Pendapat yang menjelaskan wajibnya menghadiri undangan walimah juga turut dijelaskan oleh Ibnu ‘Abdil Barr, imam asy-Syafi’i, Imam Ahmad, Ibnu Hazm, Imam an-Nawawi, dan pendapat inilah yang telah menjadi kesepakatan para ulama.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallalalhu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Dan barangsiapa yang meninggalkan undangan, maka dia telah melakukan maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5177)

Walau pun begitu, undangan ke majlis walimah boleh ditinggalkan sekiranya memiliki uzur. Ini adalah sebagaimana penjelasan berikut:

1 – Apabila di dalam walimah tersebut mengandungi perkara-perkara maksiat seperti jamuan khamar (arak), gambar-gambar makhluk bernyawa, dan permainan alat-alat muzik dan nyanyian. Sekiranya ini berlaku, maka seseorang tidak perlu menghadirinya melainkan dengan tujuan untuk mencegah kemungkaran tersebut. Sekiranya dia berjaya mencegahnya, maka itu adalah satu kebajikan, dan sekiranya tidak berjaya, hendaklah dia segera beredar.

Ini adalah sebagaimana hadis ‘Ali radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

“Aku membuat makanan, lalu aku mengundang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, kemudian beliau tiba, lalu beliau pun segera pulang. Aku pun segera bertanya, “Wahai Rasulullah, Ibu dan Bapaku sebagai tebusan, apakah yang membuatkan engkau pulang?”

Beliau menjawab:

“Sesungguhnya di dalam rumah ada kain penutup yang bergambar, dan sesungguhnya para malaikat tidak akan memasuki ke dalam sesebuah rumah yang di dalamnya mengandungi gambar-gambar.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, no. 3359. Dinyatakan sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Ibnu Majah dan Adabuz Zifaf)

Juga hadis dari ‘Umar al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa beriman kepada Allah dan hari Akhir, maka janganlah duduk di meja makan yang di sana dihidangkan minuman keras (khamar).” (Hadis Riwayat Ahmad dan at-Tirmidzi. Rujuk: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 152, Media Hidayah)

2 – Apabila terdapat pengkhususan undangan di mana orang yang mengundang membeza-bezakan di antara yang kaya dengan yang miskin atau fakir, makanan yang dihidangkan mengandungi syubhat, dan seumpamanya. Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam ash-Shan’ani di mana diizinkan untuk tidak memenuhi undangan walimah “apabila adanya uzur di antaranya, apabila makanan yang dihidangkan mengandungi syubhat (tidak jelas kehalalannya), atau diperuntukkan kepada orang-orang kaya sahaja, atau ada orang yang tidak senang dengannya...” (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 729, Darus Sunnah)

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah, yang mana di dalam walimah tersebut tidak mengundang orang yang memerlukan (fakir), dan hanya mengundang orang yang tidak memerlukan (orang kaya)...” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5177)

Di antara uzur lain yang dibenarkan untuk tidak hadir ke undangan walimah adalah seperti uzur yang dengannya seseorang boleh meninggalkan solat Juma’at, seperti terjadinya hujan yang sangat lebat, jalan yang bermasalah, kerana takutkan musuh, takut hilangnya harta, dan yang lain yang seumpama. (Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 314, Pustaka Ibnu Katsir)

Digalakkan Mengundang Orang Bertaqwa (Soleh)

Ini adalah sebagaimana hadis berikut:

“Janganlah kamu bersahabat kecuali dengan orang yang beriman, dan janganlah makanan kamu dimakan melainkan oleh orang-orang yang bertaqwa.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4811. Hadis ini hasan menurut penilaian al-Albani)

Daripada Anas radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berdoa kepada Sa’ad bin ‘Ubaidah yang menghidangkan kismis untuknya:

“Semoga orang-orang yang baik memakan makananmu, para malaikat mendoakanmu, dan orang-orang yang puasa berbuka di tempatmu.” (Hadis Riwayat Ahmad. Lihat: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 157, Media Hidayah)

Dan jangan sekali-kali hanya mengundang orang-orang yang kaya lalu melupakan orang-orang yang memerlukan.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah, yang mana di dalam walimah tersebut tidak mengundang orang yang memerlukan (fakir), dan hanya mengundang orang yang tidak memerlukan (orang kaya)...” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5177)

Bolehkah Orang Yang Berpusa Menghadiri Walimah?

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Apabila seseorang di antara kamu diundang, hendaklah dia memenuhi undangan tersebut, jika dia sedang berpuasa hendaklah dia mendoakan, dan jika dia tidak berpuasa, hendaklah dia makan.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1431)

Menurut Imam ash-Shan’ani, hadis ini menunjukkan wajibnya memenuhi undangan walaupun dia sedang berpuasa. (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 732, Darus Sunnah)

Dan sebenarnya tidak ada perbezaan akan kewajiban untuk memenuhi undangan walimah sama ada dia sedang berpuasa atau pun tidak. Akan tetapi dibolehkan bagi mereka yang berpuasa untuk menghadirinya sahaja tanpa menyantap hidangan dan dianjurkan mendoakan orang yang mengundangnya.

Namun, jika dia mahu, dia boleh untuk memakannya, atau tidak memakannya. Dan jika dia membatalkan puasanya, puasa sunat yang ditinggalkannya tidak wajib diganti.

Dari Jabir radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Jika salah seorang dari kamu diundang makan, maka hendaklah dia menghadirinya. Jika mahu, dia dibolehkan makan, jika tidak mahu dia boleh untuk meninggalkannya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1430)

Anjuran Supaya Mendoakan Pasangan Pengantin

Di antara keindahan di dalam Sunnah adalah mendoakan kebaikan, keberkahan, dan memohonkan keampunan buat pasangan pengantin serta mendoakan untuk orang yang mengundang ke majlis makan (walimah).

Di antara doa-doa yang disunnahkan kepada kita untuk berdoa dengannya adalah sebagaimana berikut:

Doa untuk pasangan pengantin:

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam jika memberikan ucapan doa kepada seseorang yang berkahwin, beliau akan berkata:

بَارَكَ اللهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ

“Semoga Allah memberikan keberkahan kepadamu, memberikan keberkahan atasmu, dan menyatukan kamu berdua di dalam kebaikan.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2130. Hadis ini dinilai sahih oleh at-Tirmidzi dan ath-Thusi sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Albani di dalam Adabuz Zifaz)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata kepada ‘Abdurrahman bin ‘Auf:

بَارَكَ اللهُ لَكَ

“Semoga Allah memberkahimu...” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5169)

Doa ketika Rasulullah menikahkan ‘Ali dengan Fatimah:

اَلَّهُمَّ بَارِكْ فِيْهِمَا، وَبَارَكَ لَهُمَا فِيْهِمَا فِيْ بِنَائِهِمَا

“Ya Allah, berkahilah mereka berdua dan berkahilah perkahwinan mereka berdua.” (Diriwayatkan oleh ath-Thabrani di dalam al-Kabir. Rujuk: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 160, Media Hidayah)

Doa untuk orang yang mengundang makan:

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mendoakan untuk Abdullah bin Busr radhiyallahu ‘anhu dan keluarganya (ayahnya) di ketika dia selesai dijamu makanan:

اَلَّهُمَّ بَارِكْ لَهُمْ فِي مَا رَزَقْتَهُمْ، وَاغْفِر لَهُمْ، وَارْحَمْهُمْ

“Ya Allah, berkahilah mereka pada rezeki yang telah Engkau berikan kepada mereka dan ampunilah mereka serta rahmatilah mereka.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1615)

Dan dianjurkan bagi mereka yang diundang untuk mengucapkan terima kasih di atas undangan yang diberikan.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Tidak bersyukur kepada Allah, orang yang tidak berterima kasih kepada manusia.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4811)

Mengucapkan Ucapan Yang Tidak Disyari’atkan

Adalah tidak dibenarkan meninggalkan ucapan-ucapan (doa) yang telah sedia dicontohkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam seperti yang disebutkan di atas, lalu diganti dengan ucapan-ucapan yang tidak sewajarnya.

Sebagai contoh, pada masa ini begitu ramai yang mempopularkan bentuk-bentuk ucapan seperti:

“Selamat pengantin baru.”

“Semoga bahagia dan mendapat ramai anak.”

Ada pun sebenarnya, ucapan-ucapan seperti ini telah pun disentuh oleh para ulama sejak awal lagi.

Di antaranya al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah menjelaskan:

“Perkataan ini biasa diucapkan oleh orang-orang jahiliyyah sehingga ucapan ini dilarang.” (Fathul Bari, jil. 9, m/s. 222. Rujuk: Abu Hafsh Usamah, Panduan Lengkap Nikah, m/s. 232, Pustaka Ibnu Katsir)

Ini adalah kerana, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri telah melarang perbuatan seperti itu sebagaimana yang dijelaskan oleh ‘Uqail bin Abu Thalib.

Ini berlaku di ketika ‘Uqail berkahwin dengan seorang wanita dari suku Jasyam. Lalu orang-orang yang mengunjunginya mengucapkan:

“Semoga bahagia dan mendapat ramai anak.”

‘Uqail pun berkata, “Janganlah kamu mengucapkan seperti itu (kerana Rasulullah telah melarangnya).” Mereka pun bertanya, “jadi, apa yang harus kami ucapkan, wahai Abu Zaid?”

‘Uqail berkata,

“Ucapkanlah: Semoga Allah memberkahimu di dalam kesenangan atau pun kesusahan”. Begitulah kita diperintahkan. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, ‘Abdurrazzaq, Ahmad. Rujuk: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 162, Media Hidayah)

Disunnahkan Memberi Hadiah dan Membantu Melaksanakan Walimah

Dari Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

“Setelah Nabi Shallalalhu ‘alaihi wa Sallam menikahi Shafiyah, pada pagi harinya Nabi pun berkata: “Sesiapa yang memiliki sesuatu untuk disumbangkan, hendaklah disumbangkan”. Beliau pun menghamparkan lembaran kulit yang disamak (sebagai bekas). Ada orang yang menyumbang keju, ada yang menyumbang kurma, dan ada yang memberikan minyak samin. Mereka pun membuat hais (campuran kurma tanpa biji, keju, tepung dan minyak).” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2048)

Berdasarkan hadis ini, Syaikh al-Albani rahimahullah menyatakan:

“Orang-orang kaya dan yang memiliki kelebihan (bekalan) dianjurkan untuk memberikan sumbangan di dalam majlis walimah saudaranya.” (al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 139, Media Hidayah)

Demikianlah sesebuah majlis walimah (walimatul urus) yang ditunjukkan oleh Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan diamalkan oleh para sahabat dan generasi awal umat Islam lainnya. Ianya begitu mudah dan ringkas.

Di bahagian seterusnya, tulisan akan difokuskan kepada beberapa contoh amalan di dalam masyarakat Melayu ketika majlis-majlis walimah mereka pasa masa kini. Sekaligus kita akan melihat sama ada ianya harus, sunnah, atau sebaliknya yang membawa kepada larangan syari’at mahu pun bid’ah.

Kemungkaran dan Tokok Tambah (Bid’ah) Di Dalam Majlis Walimah

Bahagian ini ditulis adalah berdasarkan pemerhatian terhadap majlis walimah (walimatul urus) tertentu di sekitar masyarakat Melayu Semenanjung Malaysia.

Yang dimaksudkan sebagai kemungkaran di sini adalah apa jua perkara yang dilarang dan diharamkan di dalam agama.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar. Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, niscaya tidak seorang pun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nuur, 24: 21)

“Waai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang diwajibkan (oleh Allah).” (Surah Luqman, 31: 17)

“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah.” (Surah al-Hasyr, 59: 7)

Manakala tokok tambah (bid’ah) yang dimaksudkan di sini adalah apa jua tokok tambah yang dikhususkan di dalam majlis walimah yang pada asalnya menurut timbangan agama tidak disyari’atkan. Aturcara walimah (majlis perkahwinan) adalah sebuah ibadah yang disyari’atkan oleh agama melalui Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Di mana di dalam sebuah hadis disebutkan:

“Sebenar-benar perkataan, adalah Kitabullah (al-Qur’an), sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, seburuk-buruk perkara adalah apa yang diada-adakan di dalam agama, setiap perkara baru yang diada-adakan di dalam agama adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu sesat.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 1097)
Begitu juga di dalam beberapa hadis yang lain, kita turut diperingatkan.

Dari Irbadh bin Sariyah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4607)

Dengan lebih tepat, “Bid’ah adalah sebuah cara baru di dalam agama yang dibuat menyerupai seakan-akan syari’at dengan tujuan untuk berlebih-lebihan di dalam beribadah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.” (Imam asy-Syatibi, di dalam al-I’tisyam. Rujuk: Yazid Abdul Qadir Jawas, Syarah ‘Aqidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah, m/s. 78-79, Pustaka Imam asy-Syafi’i. Juga Alawy Abdul Qadir as-Saqqaf, Mukhtashar al-I’tisham, m/s. 32, Media Hidayah)

Maka dengan ini, sesuatu yang asalnya tidak dikhususkan atau tidak disyari’atkan oleh agama melalui dalil-dalil yang benar di dalam walimatul urus, maka sekiranya ia berlaku dan dilakukan ini adalah termasuk ke dalam bentuk-bentuk tokok tambah terhadap agama yang jelas bertentangan dan mengajak kepada perbuatan bid’ah. Sekiranya kita menganggap dan berkeyakinan bahawa sesebuah ritual atau sesuuatu amalan yang pada asalnya tidak disyari'atkan ke dalam sesebuah majlis walimah, dan sekiranya amalan tersebut tidak diadakan di dalam majlis walimah tersebut, kita mengatakan bahawa walimah tersebut tidak lagi lengkap, tidak lagi sempurna, kelihatan janggal, atau tidak berseri atau seumpamanya, maka sebenarnya kita telah menuju kepada perbuatan bid'ah. Iaitu menuju kepada perbuatan yang sebenarnya tidak pernah ditetapkan oleh syari'at, tetapi kita telah memandai-mandai sendiri menetapkannya. Ini adalah kerana, walimah adalah sebuah ibadah yang disyari'atkan oleh allah melalui Nabi-Nya Shallallahu 'alaihi wa Sallam. Apatah lagi sekiranya, perkara yang ditambah itu adalah merupakan perbuatan-perbuatan yang mungkar dan membawa kepada larangan yang berat di sisi Allah.

Perbahasan di dalam bahagian ini akan dibawakan dengan seringkas mungkin dan padat.

1 – Membuka Aurat

Perbuatan mendedahkan aurat di khalayak ramai (para hadirin) oleh wanita pada masa ini semakin banyak dilakukan di dalam majlis-majlis walimah. Malah ianya sudah menjadi satu trend (gaya) dalam kalangan umat Islam setiap kali pasangan pengantin melangsungkan majlis perkahwinan mereka. Terdapat sebagahagian wanita yang asalnya bertudung, tetapi apabila tiba hari perkahwinannya, dia dengan relanya membuka tudung dan menededahkan bahagian-bahagian aurat tertentu. Termasuk perbuatan mendedahkan aurat adalah dengan memakai pakaian yang ketat sehingga menggambarkan bentuk tubuh badan, mengenakan pakaian dengan kain yang jarang, dan mengenakan kain yang tipis.

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangan dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (aurat) kecuali kepada... (mahram mereka)...” (Surah an-Nuur, 24: 31)

Untuk lebih lanjut berkenaan perbahasan aurat wanita, bolehlah merujuk tulisan bertajuk: “Pakaian Seorang Wanita Beriman (Muslimah) Menurut al-Qur’an & as-Sunnah” di blog fiqh penulis. Atau boleh juga merujuk sebuah buku yang baik karya Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani bertajuk, “Jilbab al-Mar’atil Muslimah”, dan buku ini telah pun diterjemahkan oleh Media Hidayah dan Pustaka at-Tibyan dengan tajuk “Jilbab Wanita Muslimah”.

2 – Bersolek dan memakai wangi-wangian bagi wanita

Dari Abu Musa al-Asy’ary radhiyallahu ‘anhu, dia berkata:

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda:

“Wanita yang memakai wangi-wangian, dan kemudian dia melintasi suatu kaum supaya mereka mencium bau wanginya, maka wanita tersebut adalah wanita penzina.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4172, at-Tirmidzi, no. 2786)

“Alasan dari larangan tersebut dapat dilihat dengan jelas iaitu menggerakkan panggilan syahwat (kaum lelaki). Sebahagian ulama telah mengaitkan perkara lain dengannya, seperti memakai pakaian yang cantik (melawa), perhiasan yang ditampakkan, dan bercampur baur dengan kaum lelaki.” (Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Bari, 2/279. Rujuk: Abu Malik Kamal, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, m/s. 151, Pustaka Ibnu Katsir)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“... Dan janganlah kamu berhias (tabarruj) dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyyah yang dahulu.” (Surah al-Ahzab, 33: 33)

3 – Mencukur Kening dan Memakai Rambut Palsu

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Allah melaknat orang yang membuat tatu dan wanita yang minta ditatu, wanita yang menyambung rambutnya (dengan rambut palsu), yang mencukur alis (bulu kening), dan yang minta dicukur, dan wanita yang merenggangkan giginya untuk kecantikan sehingga mengubah ciptaan Allah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 4886)

4 – Memanjangkan Kuku dan Mewarnakannya Dengan Pewarna

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Termasuk fitrah bagi manusia itu ada lima: Khitan, mencukur bulu kemaluan, merapikan misai, memotong kuku, dan mencabut bulu ketiak.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5889)

Berkenaan permasalahan trend mewarnakan kuku ini, Syaikh al-Albani rahimahullah berkata:

“Ini adalah merupakan kebiasaan buruk yang dilakukan oleh wanita-wanita Eropah kepada wanita-wanita Islam, iaitu memanjangkan kuku dan mewarnakannya dengan warna merah atau selainnya dengan kuteks (pewarna/pengecat kuku). Kebiasaan ini juga turut dilakukan oleh sebahagian pemuda. Perbuatan ini selain mengubah ciptaan Allah, ia juga menjadikan pelakunya terlaknat dan perbuatan ini termasuk meniru-niru (tasyabbuh) perbuatan wanita-wanita kafir.

“Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang kafir), maka dia termasuk di dalam golongan mereka.” (al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 184, Media Hidayah)

Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang kafir), maka dia termasuk di dalam golongan mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud. Sahih menurut Syaikh al-Albani di dalam Shahihul Jami’, no. 6149, juga dijelaskan di dalam Jilbab al-Mar’atil Muslimah)

5 – Mencukur Janggut

Sebahagian kaum lelaki muslim pada masa ini tidak lagi berminat memelihara janggut dan membenci memelihara janggut. Malah, ada pula di antara mereka yang mencukur janggutnya semata-mata untuk nampak bergaya di majlis perkahwinannya. Sedangkan, perbuatan memelihara janggut adalah sebuah sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan di dalam banyak hadis-hadisnya berkenaan janggut ia menunjukkan sebuah perintah yang perlu diikuti.

Daripada Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Selisihilah kaum majusi, rapikanlah misai, dan peliharalah janggut.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5893)

Untuk perbahasan lanjut berkenaan hukum dan sunnah memelihara janggut ini, anda bolehlah merujuk sebuah tulisan yang ditulis oleh Ustaz Rasul Dahri yang telah saya letakkan di dalam blog fiqh saya bertajuk “Pandangan Syari’at Berkenaan Pemeliharaan Janggut”.

6 – Mengkhususkan Adanya Cincin Perkahwinan

Perbuatan bertukar cincin atau menetapkan adanya cincin perkahwinan, pertunangan, atau pun pernikahan, ianya sama sekali bukan berasal daripada ajaran Islam.

Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh al-Albani rahimahullah:

“Tindakan ini (menyarung cincin) selain meniru tradisi orang-orang kafir sehingga menjadi sebuah larangan, ia juga mengandungi pelanggaran terhadap dalil-dalil hadis yang melarang lelaki mengenakan cincin emas...” (al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 191, Media Hidayah)

Asal perbuatan (adat) menyarung cincin perkahwinan ini adalah berasal dari adat kepercayaan kuno kaum Nasrani (kristian). Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh al-Albani di dalam kitabnya, Adabuz Zifaf.

Syaikh Ibnu Bazz rahimahullah (Mufti Saudi Arabia) menjelaskan: “Kami tidak mengetahui dasar amalan ini (sarung cincin) di dalam syari’at.” (Muhammad al-Musnid, Fatawa Islamiyah, 3/129. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 230, Pustaka Ibnu Katsir)

7 – Adat Bersanding dan Pelamin

Perbuatan mengadakan pelamin dan adat bersanding bukanlah sebuah amalan yang berasal dari ajaran Islam. Malah, ia mungkin ditiru dan berasal dari ajaran Hindu atau pun Kristian. Ini adalah kerana amalan tersebut sangat mirip dengan adat upacara perkahwinan mereka.

Menurut Syaikh Abdullah bin ‘Abdurrahman al-Jibrin hafizahullah:

“Perbuatan ini (bersanding) adalah tidak dibenarkan. Sebab ini adalah bukti atas tercabutnya rasa malu dan taqlid (mengikuti) kepada kaum yang suka kepada keburukan. Perkaranya adalah jelas. Pengantin wanita sepatutnya merasa malu menampakkan diri di hadapan manusia, lalu bagaimana dengan perbuatan tersebut yang sengaja dilakukan di hadapan orang-orang yang sengaja menyaksikannya?” (Muhammad al-Musnid, Fatawa Islamiyah, 3/188. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 230, Pustaka Ibnu Katsir)

Syaikh Ibnu ‘Utsaimin rahimahullah berkata:

“Di antara perkara mungkar, bahawa rasa malu sebahagian manusia telah tercabut dari mereka. (Adalah) seorang suami datang di tengah kaum wanita dan naik pelamin bersama isterinya di hadapan kaum wanita, iaitu pada awal pertemuannya dengan isterinya untuk bersanding dengannya, bersalaman tangan dengannya, mungkin menciumnya, dan mungkin memberikan hadiah kepadanya berserta coklat dan selainnya yang dapat menggerakkan syahwat dan mengakibatkan fitnah.” (Min Munkaratil Afraah, m/s. 7, 10. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 231, Pustaka Ibnu Katsir)

8 – Menabur Gula-gula, Coklat, dan Bunga

Perbuatan ini tidak terdapat di dalam syari’at atau pun majlis walimah sebagaimana yang disunnahkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Ada pun sebenarnya, perbuatan ini termasuk meniru-niru perbuatan kaum kafir yang diambil dari perbuatan kaum kristian yang menabur bunga di acara-acara perkahwinan mereka.

Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang kafir), maka dia termasuk di dalam golongan mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud. Sahih menurut Syaikh al-Albani di dalam Shahihul Jami’, no. 6149, juga di dalam Jilbab al-Mar’atil Muslimah)

Imam Ibnu Katsir menjelaskan di bawah penafsiran Surah al-Baqarah, 2: 104:

“Allah Ta’ala melarang hamba-hamba-Nya yang beriman menyerupai (syi’ar) orang-orang kafir, sama ada dalam ucapan mahu pun perbuatan mereka.” (Ibnu Katsir, Shahih Tafsir Ibnu Katsir (Judul asal: al-Mishbaahul Muniir fii Tahdziibi Tafsiiri Ibni Katsir, Selenggaraan Syaikh Syafiurrahman al-Mubarakfuri), jil. 1, m/s. 364, Pustaka Ibnu Katsir)

Sekiranya amalan tersebut disandarkan kepada agama, maka perbuatan tersebut termasuk meletakkan perbuatan yang tiada asalnya di dalam agama, maka ia adalah bid’ah lagi sesat. Ini adalah kerana walimatul urus adalah sebuah aturcara agama sebagaimana yang diperintahkan (ditekankan) berdasarkan sunnah yang jelas.

Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu yang baru di dalam agama kami ini, maka ianya tertolak.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2697)

Dari Irbadh bin Sariyah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4607)

9 – Adat Merenjis Air Mawar

Adat ini juga bukan berasal dari Islam. Mungkin ia diambil dari amalan masyarakat Hindu. Selain merupakan perbuatan yang ditokok tambah (bid’ah) di dalam walimatul urus, malah ianya juga boleh menjurus kepada perbuatan syirik sekiranya dengan perbuatan merenjis tersebut disertakan dengan i’tiqad (keyakinan-keyakinan) tertentu seperti mempercayai pasangan pengantin yang direnjis akan mendapat kebahagiaan dan seumpamanya.

10 – Mewajibkan Adanya Duit dan Barang Hantaran

Adat ini ditetapkan oleh kebanyakan masyarakat Melayu secara umumnya iaitu dengan mewajibkan pihak lelaki (atau bakal/calon suami) supaya membayar sejumlah wang yang dinamakan sebagai wang hantaran kepada keluarga pihak perempuan. Kebiasaannya (pada masa ini) sehingga RM10 000 atau lebih dari itu bergantung kepada status pendidikan atau pun permintaan wanita yang hendak dinikahi. Nilai wang hantaran ini akan ditetapkan oleh sama ada bakal isteri atau pihak keluarga bakal isteri. Sekali imbas, perbuatan ini adalah seakan-akan sebuah perbuatan jual beli wanita. Dan wang ini akan diserahkan kepada keluarga si isteri.

Dan kemudiannya, kedua-dua pihak akan saling bertukar barang hantaran tertentu sesama mereka. Di mana mereka mengkhususkan dengan jumlah bilangan tertentu, seperti 5 dulang dari lelaki berbalas 7 dulang barangan tertentu dari pihak perempuan, atau 7 dulang dari pihak lelaki berbalas 9 dulang dari pihak perempuan, atau 9 dulang dari pihak lelaki berbalas 11 dulang dari pihak perempuan, dan seterusnya.

Ada pun sebenarnya perbuatan ini langsung tidak pernah ditetapkan oleh Islam, dan perbuatan ini merupakan perbuatan bid’ah iaitu amalan yang ditokok tambah ke dalam majlis walimah umat Islam. Adalah menjadi suatu yang sunnah di dalam agama supaya memudahkan urusan pernikahan (juga urusan yang lain), tetapi, dengan ditambahnya amalan-amalan seperti ini, ia hanya akan menyusahkan (memberatkan) pasangan yang hendak berkahwin dan ia sekaligus menggalakkan maksiat sekiranya perkahwinan ditangguhkan hanya semata-mata disebabkan perkara yang karut ini.

Dari Irbadh bin Sariyah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4607)

Namun, apa yang diwajibkan atau pun disunnahkan di dalam syari’at hanyalah memberikan mahar (maskahwin) oleh lelaki kepada wanita yang dinikahi, sama ada berdasarkan apa yang diminta oleh wanita tersebut atau pun tanpa diminta. Dan maskahwin ini tidaklah semestinya di dalam bentuk wang ringgit atau barang-barang tertentu. Ianya sama ada tertakluk berdasarkan apa yang diminta oleh wanita, atau pun bebas dengan apa yang hendak diberikan oleh si lelaki jika si wanita tidak menetapkannya. Dan mahar adalah merupakan salah satu rukun dan syarat sahnya nikah.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Berikanlah maskahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan...” (Surah an-Nisaa’, 4: 4)

“... Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmati (campuri) di antara mereka, berikanlah kepada mereka maharnya (dengan sempurna), sebagai suatu kewajiban...” (Surah an-Nisaa’, 4: 24)

Dan mahar yang paling baik adalah mahar yang paling mudah, ringan atau tidak mahal (tidak menyusahkan dan memberatkan si suami).

Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Pernikahan yang paling besar keberkahannya adalah yang paling mudah maharnya.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 24595)

Perbuatan meninggikan atau memahalkan penetapan nilai mahar adalah satu perbuatan yang dibenci oleh agama sebagaimana disebutkan di dalam beberapa hadis.

Umar al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu berkata:

“Ingatlah, janganlah meninggikan nilai mahar wanita. Jika itu merupakan kemuliaan di dunia atau taqwa di sisi Allah, sudah tentu yang paling utama melakukannya adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2106) (Rujuk: Amru Abdul Mun’im Salim, Panduan Lengkap Nikah, m/s. 76, Dar an-Naba’)

Sahih di dalam beberapa riwayat bahawa Rasulullah dan beberapa sahabat berkahwin dengan mengeluarkan mahar yang sangat kecil. Malah di sebahagian keadaan, ada yang memberikan mahar dalam bentuk cincin besi, baju besi, memerdekakan hamba, dengan hafazan al-Qur’an, dengan mengajarkan surah-surah tertentu dari al-Qur’an, dengan segenggam kurma, dengan mengislamkan seseorang, dengan sebiji emas sebesar biji kurma, dan selainnya.

11 – Bersalaman Dengan Bukan Mahram

Di dalam sebuah hadis dijelaskan bahawa:

“Seseorang yang ditusuk kepalanya dengan jarum besi adalah lebih baik daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya.” (al-Albani, Silsilah Hadis ash-Shahihah, no: 225)

Dan para ulama juga menetapkan serta menjelaskan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri tidak pernah menyentuh wanita yang tidak halal baginya walau pun di dalam peristiwa bai’ah.

Berkenaan perkara ini juga, telah jelas di dalam al-Qur’an bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan supaya kaum lelaki dan wanita yang beriman supaya tunduk dari memandang kaum berlainan jantina mereka, maka apatah lagi jika perbuatan bersalaman atau bersentuhan, sedangkan perbuatan pandang memandang sahaja pun sudah ditegah.

12 – Tahlilan dan Kenduri Bacaan Doa Selamat

Amalan ini adalah merupakan bid’ah yang merupakan tokok tambah di dalam agama yang kini sangat banyak dilakukan oleh masyarakat Melayu. Untuk penjelasan lanjut berkenaan amalan ini, silakan merujuk buku kecil bertajuk “Yasinan dan Tahlilan Menurut Mazhab Syafi’e”, tulisan Abu Farouq Ustaz Rasul Dahri, terbitan Jahabersa.

13 – Sesi Nanyian-nyanyian, Muzik dan Kugiran

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Akan muncul dari umatku beberapa kaum yang menghalalkan zina, sutera, khamar (minuman keras), dan alat-alat muzik...” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5590)

Di dalam Tafsir Ibnu Katsir, Ibnu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu menjelaskan dengan tegas bahawa muzik dan nyanyian adalah termasuk perkara yang tidak berguna.

Untuk perbahasan lebih lanjut berkenaan persoalan muzik dan nyanyi-nyanyian ini, dipersilakan merujuk kitab karya Imam Ibnul Qayyim, bertajuk Ighaatsatul Lahfan atau Syaikh al-Albani, bertajuk Tahriim Alath ath-Tharb, dan kitab syaikh al-Albani ini telah ada terjemahannya.

14 – Permainan Kuda Kepang

Permainan kuda kepang adalah merupakan amalan yang bermula dari masyarakat kaum Jawa. Ia kini agak popular di beberapa kawasan seperti di di Johor dan Selangor.

Ada pun sebenarnya, sebahagian amalan yang dilakukan di dalam permainan kuda kepang ini adalah perbuatan yang boleh membawa kepada syirik. Ini adalah disebabkan di dalamnya mengandungi perbuatan berhubungan atau berunding (mengadakan perjanjian) dengan jin dan syaitan, selain pemujaan menggunakan ayam jantan dan asap kemenyan.

Imam Abil ‘Izz al-Hanafi rahimahullah berkata:

“Cara manusia dalam mengambil kesenangan dari golongan jin adalah dengan meminta dipenuhi keperluan-keperluannya, dipenuhi kemahuannya, atau menerima berita-berita ghaib dari mereka, serta yang seumpamanya. Sedangkan cara jin mengambil kesempatan dari manusia adalah dengan pengagungan manusia terhadapnya, dengan permintaan tolong, dan permohonan keselamatan, serta ketundukan manusia kepadanya.” (Abdul Akhir Hammad al-Ghunaimi, Tahzib Syarah ath-Thahawiyah, m/s. 98, Pustaka at-Tibyan)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan bahawasanya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki dari kalangan jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.” (Surah al-Jin, 72: 6)

Selain itu, permainan kuda kepang ini di dalamnya juga disertai dengan pelbagai bunyi-bunyian tertentu yang menjurus kepada muzik terlarang.

15 – Bomoh Tolak Hujan

Terdapat beberapa kelompok dari kalangan masyarakat Melayu yang begitu gemar mengambil atau mengupah bomoh-bomoh tertentu supaya menjampi bagi tujuan menahan hujan dari turun. Selain itu, khidmat bomoh juga turut digunakan bagi mengesan (meramal dengan ilmu ghaib) sama ada pada tarikh atau hari-hari tertentu yang tidak akan turun hujan. Ini dilakukan dengan harapan supaya tempat diadakan majlis walimah sentiasa cerah (tidak hujan), sekaligus menjadikan majlis berjalan lancar.

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri...” (Surah al-An’am, 6: 59)

Rasulullah Slallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa yang mendatangi seorang peramal atau dukun lalu membenarkan apa yang ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Hadis Riwayat al-Hakim 1/8. Dipersetujui oleh adz-Dzahabi)

Imam ath-Thahawi rahimahullah berkata di dalam Kitab aqidahnya:

“Kita tidak mempercayai (ucapan) dukun mahu pun tukang ramal (bomoh), demikian juga setiap mereka yang mengakui sesuatu yang menyelisihi al-Kitab dan as-Sunnah serta ijma’ kaum muslimin.” (Imam ath-Thahawi, Aqidah ath-Thahawiyah. Rujuk: Abdul Akhir Hammad al-Ghunaimi, Tahzib Syarah ath-Thahawiyah, m/s. 90, Pustaka at-Tibyan)

Berkenaan turunnya hujan, banyak hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyarankan kita supaya bersyukur di atas sebab turunnya hujan. Ini adalah sebagaimana di dalam doa yang dicontohkan oleh beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Ya Allah, turunkanlah hujan yang bermanfaat (untuk manusia, tanaman, dan binatang).” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1032)

Dan penjelasan Rasulullah sendiri sebagaimana berikut:

“Kita diberi hujan adalah kerana kurnia dan rahmat Allah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1038)

Dan sekiranya kita memiliki rasa bimbang dan takut hujan tersebut memberikan gangguan atau sebarang kerosakan kepada kita, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga telah mengajarkan kepada kita bagaimanakah doa yang harus kita praktikkan.

Dari Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau menjelaskan doa tersebut sebagaimana berikut:

اَللَّهُمّ حَوَاليَنْاَ وَلاَعَليَنْاَ، اَللَّهُمَّ عَلىَ اْلآكاَمِ وَالظِّرَابِ، وَبُطُوْنِ اْلأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ

“Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami (di luar kawasan kami), bukan untuk merosakkan kami. Ya Allah, turunkanlah hujan ke dataran tinggi, beberapa anak bukit, perut lembah dan beberapa tanah yang menumbuhkan tumbuh-tumbuhan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1013)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah, 2: 186)

Malah, berkenaan dengan hukum berjumpa dengan bomoh, pawang, atau pun dukun yang dikatakan mampu menolak hujan dan memiliki kelebihan ilmu ghaib tertentu ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menjelaskan kepada kita melalui sabdanya:

“Sesiapa yang mendatangi seorang peramal atau dukun lalu membenarkan apa yang ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Hadis Riwayat al-Hakim 1/8. Dipersetujui oleh adz-Dzahabi)

16 – Mengambil, Melukis, dan Menggantung Gambar

Daripada Said bin Abu al-Hasan, “Ketika aku bersama Ibnu ‘Abbas, seorang lelaki datang dan berkata, “Wahai Ibnu Abbas, pendapatan (periuk nasi) aku adalah dari hasil kerja tanganku dan kerjaku adalah membuat gambar-gambar ini”. Ibnu ‘Abbas berkata, “Aku sekadar memberi tahu apa yang aku dengar dari Rasulullah. Aku mendengar beliau bersabda, “Sesiapa membuat gambar dia akan di-azab oleh Allah sehingga dia mampu menghidupkannya dan sesungguhnya dia tidak akan berupaya untuk menghidupkannya”. Mendengarkan hal ini, lelaki itu menarik nafas panjang (mengeluh) dan mukanya menjadi pucat. Ibnu ‘Abbas berkata padanya, “Jika kamu masih tetap mahu untuk membuat gambar-gambar, aku nasihatkan agar kamu membuat gambar-gambar pokok (tumbuh-tumbuhan) dan sebarang gambar yang bukan berupa dari makhluk bernyawa”.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2110)

Daripada Ibnu ‘Abbas, “Abu Talha, seorang sahabat Rasulullah dan seorang sahabat yang pernah bersama dalam peperangan badar memberitahu kepadaku bahawa Rasulullah berkata, “Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar.” Yang dia maksudkan adalah gambar yang menyerupai makhluk bernyawa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Secara ringkasnya:

1 – Dilarang melukis, menggantung, dan membuat gambar berupa makhluk bernyawa seperti manusia atau haiwan, atau apa sahaja yang menunjukkan ia sebagai makhluk bernyawa.

2 – Dibolehkan melukis atau membuat gambar selain makhluk bernyawa seperti tumbuh-tumbuhan, air terjun, bangunan dan kenderaan.

3 – Pengambilan gambar hanya diizinkan untuk perkara yang benar-benar mendesak lagi memerlukan seperti untuk tujuan passport.

4 – Tidak dibenarkan untuk mengambil gambar bagi tujuan kenang-kenangan sebagaimana yang difatwakan oleh Syaikh Ibnu Bazz.

Untuk perbahasan lebih lanjut berkenaan dengan hukum mengambil, melukis, menggantung, atau membuat gambar ini, dipersilakan merujuk tulisan bertajuk, “Lukisan/Gambar: Larangan Membuat dan Menggantungnya”.

17 – Upacara Memotong Kek Perkahwinan

Perbuatan ini juga bukan berasal dari syari’at Islam, bahkan berasal dari budaya orang kafir dari masyarakat Kristian. Malah ia juga menyerupai atau mengambil syi’ar kaum Majusi (penyembah api) sekiranya kek tersebut disertai dengan nyalaan lilin.

18 – Berbelanja Besar Untuk Set Pakaian

Di dalam Islam, kita dituntut untuk bersederhana di dalam segala perkara yang kita laksanakan. Kita juga tidak digalakkan untuk membazir dan berlebih-lebihan.

Suatu yang kini semakin menjadi trend di dalam masyarakat Melayu saat ini adalah menetapkan bahawa pasangan pengantin di ketika majlis perkahwinan mereka mestilah memakai pakaian yang sedondon seperti memakai pakaian yang sama warnanya dengan pasangan, memakai pakaian yang mesti dilengkapi dengan tanjak, keris, dan bunga-bungaan. Jika keadaan tersebut berlaku sebaliknya, di mana pasangan pengantin tidak mengenakan set pakaian seperti itu, maka mereka pun akan dilihat sebagai janggal dan diejek sebagai tidak mengenal atau tidak menghormati adat.

Ada pun sebenarnya penetapan seperti ini adalah termasuk ke dalam perbuatan berlebih-lebihan dan boleh menjurus kepada larangan agama. Cukuplah sekadar berpakaian dengan pakaian yang melambangkan akhlak, imej, dan nilai-nilai Islam yang murni. Dan Islam itu bukanlah suatu agama yang memberat-beratkan umatnya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (Surah al-A’raaf, 7: 26)

“Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A’raaf, 7: 31)

Demikianlah beberapa contoh perkara-perkara mungkar dan tokok tambah yang pada masa ini begitu popular dilakukan (dipraktikkan) di dalam masyarakat umat Islam Melayu di kebanyakkan majlis-majlis perkahwinan mereka. Ada beberapa lagi amalan/perkara yang sebenarnya dapat kita kategorikan sebagai perbuatan yang mungkar, bid'ah dan melanggar syari'at Islam yang kebiasaannya berlaku (dilakukan) ke dalam walimatul urus cuma tidak disentuh di sini seperti adat majlis bacaan berzanji, majlis bacaan doa selamat, majlis yasinan, adat menepung tawar, dan perlakuan ikhtilat (percampuran lelaki dan wanita yang bukan mahram). Dengan itu, hendaklah kita berhati-hati dengan perkara-perkara seperti ini dan sentiasa berusaha dengan sedaya upaya menjauhinya. Walau bagaimana pun perkara-perkara mungkar seperti disebutkan berlaku dan dipopularkan sekali pun, ia tetap tidak dibenarkan menandingi apa yang telah disyari’atkan dan dicontohkan oleh Nabi kita, Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan sesungguhnya agama ini telah pun sempurna tanpa perlu ditokok tambah dengan pelbagai bentuk kehendak citarasa serta nafsu manusia.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redhai Islam itu menjadi agama bagimu.” (Surah al-Ma’idah, 5: 3)

Dan suatu yang paling penting di dalam beragama ini, bukanlah kata-kata dan perbuatan manusia yang menjadi ukuran, tetapi yang perlu kita tekankan adalah sejauh mana kita teguh di dalam sebuah pendirian di atas sebuah kebenaran yang ditegakkan di atas dalil-dalil dari perkataan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan petunjuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (al-Qur’an) sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat mengubah kalimat-kalimat-Nya dan Dia lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).” (Surah al-An’am, 6: 115-116)

Sebagai penutup, sekali lagi penulis jelaskan bahawa sebenar-benar perkataan adalah perkataan Allah Subhanahu wa Ta’ala, dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu”. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali Imran, 3: 31)

Dan,

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingat Allah.” (Surah al-Ahzaab, 33: 21)

Bersama-samalah kita mencari redha dari Allah sebagaimana cara yang telah Dia tunjukkan melalui Kitab-Nya dan Rasul-Nya. Mulakanlah alam rumahtangga kita di atas keredhaan-Nya dan hindarilah dari kemurkaan-Nya.

Wallahu a’lam...

28.3.09

Mari ke restaurant China..

Assalammualaikum..
dah lame dah tak edit blog niee..this is my projct yg tertangguh berapa lame tah..taw taw laaa
so..hari nie..tgk2 blog orang...terasa jgk..when do my blog to be updatekan?
so..dgn rase berat isi2 jari tangan nieee..alhamdulillah terlaksana jgk nak siapkan satu or dua entry...urm... ths enry khas untuk abe kaab...kenapa ek?
coz nak bagi jelous laa konon2nya...siap hantr msg kat dia time dalam restaurant china tu. kaab kami makan di restaurant china huhuh..jgn jelous..
tapi yg sakit jiwa n raga pulak tu..dia siap balas...ele....dia makan nasik lemak lagi..huhu.. ye laa kan...awk dah kat mesia dah..kami nieee..ape leh bt...restaurant china nie laa yg leh nak bangga pun..asyik2 nasik mandi..ayam madghbi, roti..susu..huhu....i miz u my malaysian fooooooooooooooood..............


ok lets row..our 1st pic :>




ni pokya a.k.a zack...muka dah meleleh dah tunggu berjam2..servis buleh dikatakan lambat laa jgk...biasa laa restoren china..tapi yg serv..budak2 arab..



tgk laa poji tu (on the left pic)....dia nie mmg susah nak snap pic dia..tapi jgn risau susah2 pun ade laa berdozen2 dah pic dia in my hardisk..huhu..jgn mareeee poji...



tunggu punya lama... at last the 1st dish sampai..soup speacial from Shin Yang Restaurant...nie aje....tahu harga berapa? nanti kite tgk resit...


nie same jgk... mix vegetable soup...bagus budak2 niee..makan soup2..




yg belah kiri tu ala2 sambal belacan laa..belah kiri sos...nampak macam pedas..tapi not bad laaa..



azrul memerah lemon...abe jali hirup sup...hiruppppppppppp abe..huhu



nie namenya air SAUDI CHAMPANGE...jap nak ingat balik ape ade dalam tu yea...
ade apple slices , lemon slices, yg bestnye ade daun pudina..air apple sparkling(betuii tak eja dia)huhuhu..



boring2 tunggu makanan tak sampei2 lagi..main laaa round2 jap..











bila time makanan dia dah sampai................ape lagi..............fire in the hole...sampai tangkap pic pun dah getar2..lapaq pequt katekan..huhu




tgk...makanan pokya dia dapat dulu...senyum sampai tinge member...ade mcam nasik pataya tak kat mesia nun saner?



ape2 pun....pic dulu..sori pokya...ganggu kejap...tak gastric kann?huhu
ni laa muka2 yg agak kelaparan laa jgk...sabar je laa..











urm...adae lagi air tak?



Alhamdulillah....



this is our good driver poji's..safety 1st walau dah kenyang sekali pun...



pokya menunaikan zakat fitrah...senyum lagi tu..



batu asas sempadan yg membahagikan diantara kawasan tanah halal n tanah haram
universty kami berada diakhir kawasan tanah haram..



pada waktu yg same...universty telah mengadakan pameran kitab...yg berlangsung selama 2 minggu...this year...nampak unique laa sikit perjalanan pameran kitab..tahniah kepada pihak Universty kerana mengambil inisiatif untuk memperkembangkan kitab2 dgn meluaskan kawasan n memperbanyakkan booth2 menjual..
tapi yg kureng sikit myb sewaannya yg agak mahal..so harga buku pada tahun niee
secara drastic agak melambung..satu kitab buleh dapat dalam purata rial 25-30 sejilid
gambar2 pameran kitab tak ambil laa pulak..huhu..gmbr nie je laaa..penunjuk arah ke pameran kitab...


pintu masuk belakang kawasan universty



blok2 asrama kami...



urm the black one is my scooter...baru je menjadi hak milik aizat sepenuhnya..dibeli dari tuan asalnya...iaitu tuan haji kaab bin azme...tq so much coz u sold it to me...the white one azrul punya moto..


ths is poji's car...honda ..berkilatkan...syukran membawa kami keluar jalan2..



Ok dats all my entry for today...

Sambungan Rehlah... episod 2


yg nie pulak 1st group... yg terdiri daripada syahid (berbaju gelap.exco asrama PPM) aizat (bekas t.s.u PPM), fauzi (bekas exco asrama PPM) , kaab (bekas bendahari PPM) , n lastly ghazali a.k.a abe jali. keta ijau tu keta fauzi.. tapi orangnya tak dee dalam gambar.. huhu.
kami 5 orang niee dari satu batch..




urm.. nie abe solah..dia niee mekanik yg tak bertauliah oleh kerajaan mesia di saudi.. minat dia dgn enjin2.. tgk la tu.. sampai panjat enjin.. ade je masalah moto or kete.. kami contct je abe solah.. lepas niee sape laa nak ganti dia yer? dah nak balik mesia dah dia niee. lagi seminggu dua je berbaki di madinah niee.. solah niee from my batch...








huhuuh...gambar dah jadi terbalik dah...sepatutnya yg skrg niee bawah sekali..tapi..yg bawah pulak jadi 1st..adoi2
pening jgk laa nak bt blog niee..al-maklum laa i'm beginner in blogger nie..
so..kisahnya..dah lepas penat2 peram ,potong-potong daging kambing..so..hari yg dinantikan...nie laa dia..huhu..tgk laa tuu..siap leh main silat lagi..sebelum musafir..check ur safety first..ur car..ur wallet..ur house..semua2 laa yg berkaitan dgn safety..so....here were go...BAIDHO' WE'RE COMING...............





7.45 am...... di hadapan rumah persatuan Pelajar Madinah.. ALHAMDULILLAH... suasana pagi tuu.. tenang dgn udaranya yg segarrrrrrrrrrrr sekali..sejuk...




urm..ni laa hasilnya...dah potong2 kambing... intipatinya... campur dgn majerin ,garam , gula, kunyit.. dah lupa dah bahan2..yg mane yg ingat je tuliss..huhuhu
sori kengkawan...






Macam nie haa caranya...chef tok don (zulkifli)









nie gambar 2nd group yg terdiri dari 5 orang... Hafiz,solah,zaki,bob n amin..
tapi yg sekrg nie hanya solah n tok don..khusyuk je solah (kiri) n anak tok don (thoibah)tgk chef tok don memotong kambing...
tok don membantu dalam rehlah niee..tapi dia tak join..coz dia ade famly..
so rehlah niee hnya berstatus bujang..huuhu.. tetapi bob n hafiz n amin dah kawin.. diberikan pengecualian..coz isteri2 mereka berada di Malaysia.. so ,di madinah niee dikira single laa jgk huhu..buttttttttttttt..not available..

26.3.09

7 Petanda Kebahagiaan Dunia

7 Petanda Kebahagiaan Dunia


Dari Ibnu Abbas ra, ada 7 petanda kebahagiaan dunia, iaitu :

1. Qalbun syaakirun atau hati yang selalu bersyukur
2. Al azwaaju shoolihah, iaitu pasangan hidup yang soleh
3. Al aulaadun abraar, iaitu anak yang soleh
4. Albiatu shoolihah, iaitu lingkungan yang kondusif untuk iman kita
5. Al maalul halal, atau harta yang halal
6. Tafaqquh fiddeen, atau semangat untuk memahami agama
7. Umur yang barakah - ertinya umur yang semakin tua semakin soleh, yang setiap detiknya diisi dengan amal ibadah.

19.3.09

Bacalah cerita dibawah ini.........................

Assalamualaikum...

Cerita ni saya ambil dar laman web iluvislam.. Menarik gak cita dia.. Bacalah dan hayatilah ape yg terdapat dlm cita ni...

"Sayang, Abang minta izin untuk nikah sorang lagi," Aliyah yang sedang melipat kain, terdiam seketika. Mungkin terkedu. Adakah pendengarannya kian kabur lantaran usianya yang kian beranjak. Adakah dialog tadi hanya dilafazkan di dalam TV, sementelah TV juga dipasang. Tapi, ahh bukanlah.
TV sedang menayangkan iklan Sunsilk, mustahil sudah ada siri baru iklan Sunsilk?

Dia menghela nafas panjang.

Dia memandang sekali imbas wajah Asraf Mukmin, kemudian tersenyum. Meletakkan kain yang telah siap dilipat di tepi, bangun lantas menuju ke dapur. Langkahnya diatur tenang. Segelas air sejuk diteguk perlahan. Kemudian dia ke bilik Balqis, Sumayyah, Fatimah. Rutin hariannya, mencium puteri-puterinya sebelum dia masuk tidur. Dahulu, semasa puterinya kecil lagi, rutin itu dilakukan dengan suaminya. Kini, anak-anak kian beranjak remaja. Kemudian, dia menjenguk bilik putera bujangnya yang berdua, si kembar, Solehin dan Farihin. Pengabisannya dia kembali kepada suaminya.

Asraf Mukmin hanya diam, membatu diri. Dia amat mengenali isterinya. Jodoh yang diatur keluarga hampir 16 tahun yang lepas menghadiahkan dia sebuah keluarga yang bahagia, Aliyah adalah ikon isteri solehah. Namun, kehadiran Qistina, gadis genit yang menjawat jawatan pembantu tadbir kesetiausahaan di jabatannya benar-benar membuatkan dia lemah.

"Kau mampu Asraf, dengan gaji kau, aku rasa kau mampu untuk beri makan 2 keluarga," sokongan Hanif, teman sepejabat menguatkan lagi hujah apabila dia berdepan dengan Aliyah.

" Abang Asraf, Qis tak kisah. Qis sanggup bermadu jika itu yang ditakdirkan. Bimbinglah Qis, Qis perlukan seseorang yang mampu memimpin Qis," masih terngiang-ngiang bicara lunak Qis.

Akhir-akhir ini, panas rasanya punggung dia di rumah. Pagi-pagi, selesai solat subuh, cepat-cepat dia bersiap untuk ke pejabat. Tidak seperti kelaziman, dia akan bersarapan berjemaah bersama isteri dan anak- anak. Aduhai, penangan Qis gadis kelahiran Bumi Kenyalang benar-benar menjerat hatinya.

" Abang , Aliyah setuju dengan permintaan Abang. Tapi, Aliyah nak berjumpa dengan wanita tu," Lembut dan tenang sayup-sayup suara isterinya. Dia tahu, Aliyah bukan seorang yang panas baran. Aliyah terlalu sempurna, baik tetapi ahh hatinya kini sedang mengilai wanita yang jauh lebih muda.

"Bawa dia ke sini, tinggalkan dia bersama Aliyah selama 1 hari saja, boleh?" pelik benar permintaan isterinya. Hendak dipengapakan apakah buah hatinya itu? Namun, tanpa sedar dia menganguk, tanda setuju. Sebab, dia yakin isterinya tidak akan melakukan perkara yang bukan-bukan. Dan hakikatnya dia seharusnya bersyukur. Terlalu bersyukur. Kalaulah isterinya itu wanita lain, alamatnya perang dunia meletus lah jawabnya. Melayanglah periuk belanga. Ehhh, itu zaman dulu-dulu. Zaman sekarang ni, isteri-isteri lebih bijak.

Teringat dia kisah seorang tentera yang disimbah dengan asid, gara-gara menyuarakan keinginan untuk menambah cawangan lagi satu. Kecacatan seumur hidup diterima sebagai hadiah sebuah perkahwinan yang tidak sempat dilangsungkan. Dan dia, hanya senyuman daripada Aliyah.

"Apa, nak suruh Qis jumpa dengan isteri Abang," terjegil bulat mata Qis yang berwarna hijau. "Kak Aliyah yang minta," masih lembut dia memujuk Qis.

"Biar betul, apa dia nak buat dengan Qis?" "Takutlah Qis, silap haribulan dia bunuh Qis!" terkejut Asraf Mukmin. "Percayalah Qis, Aliyah bukan macam tu orangnya. Abang dah lama hidup dengannya. Abang faham," Qistina mengalih pandangannya.

Mahu apakah bakal madunya berjumpa dengannya? Dia sering disogokkan dengan pelbagai cerita isteri pertama membuli isteri kedua. Heh, ini Qistina lah. Jangan haraplah jika nak membuli aku. Desis hati kecil Qistina. Hari ini genap seminggu Qistina bercuti seminggu. Seminggu jugalah dia merindu. Puas dicuba untuk menghubungi Qistina, namun tidak berjaya. Rakan serumah menyatakan mereka sendiri tidak mengetahui ke mana Qistina pergi. Genap seminggu juga peristiwa dia menghantar Qistina untuk ditemuduga oleh Aliyah. Sedangkan dia diminta oleh Aliyah bermunajat di Masjid Putra. Di masjid itu, hatinya benar-benar terusik. Sekian lamanya dia tidak menyibukkan dirinya dengan aktiviti keagamaan di masjid Putra.

Dulu, sebelum dia mengenali Qistina, saban malam dia akan bersama dengan Aliyah serta anak-anaknya, berjemaah dengan kariah masjid. Kemudian menghadiri majlis kuliah agama. Membaca Al-Quran secara bertaranum itu adalah kesukaannya. Namun, lenggok Qistina melalaikannya. Haruman Qistina memudarkan bacaan taranumnya. Hatinya benar-benar sunyi. Sunyi dengan tasbih, tasmid yang sering dilagukan. Seharian di Masjid Putra, dia cuba mencari dirinya, Asraf Mukmin yang dulu. Asraf Mukmin anak Imam Kampung Seputih. Asraf Mukmin yang asyik dengan berzanji. Menitis air matanya. Hatinya masih tertanya-tanya, apakah yang telah terjadi pada hari itu. Aliyah menunaikan tanggungjawabnya seperti biasa. Tiada kurangnya layanan Aliyah. Mulutnya seolah-olah terkunci untuk bertanya hal calon madu Aliyah.

Tit tit... sms menjengah masuk ke kantung inbox hensetnya. "Qis minta maaf. Qis bukan pilihan terbaik utk Abang jadikan isteri. Qis tidak sehebat kak Aliyah. Qis perlu jadikan diri Qis sehebatnya untuk bersama Abang.
"

Dibawah hensetnya, ada sekeping sampul besar.

Kepada: Asraf Mukmin, Suami yang tersayang...

Asraf Mukmin diburu kehairanan. Sampul berwarna cokelat yang hampir saiz dengan A4 itu dibuka perlahan.



---------------------------------------------------------------

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani.


Salam sejahtera buat suami yang tercinta, moga redhaNya sentiasa mengiringi jejak langkahmu. Abang yang dikasihi, genap seminggu sesi temuduga yang Aliyah jalankan pada Qistina. Terima kasih kerana Abang membawakan Aliyah seorang calon madu yang begitu cantik. Di sini Aliyah kemukakan penilaian Aliyah.


1. Dengan ukuran badan ala-ala model, dia memang mengalahkan Aliyah yang sudah tidak nampak bentuk badan. Baju- bajunya memang mengikut peredaran zaman. Tapi, Aliyah sayangkan Abang. Aliyah tak sanggup Abang diheret ke neraka kerana menanggung dosa. Sedangkan dosa Abang sendiri pun, masih belum termampu untuk dijawab di akhirat sana , apatah lagi Abang nak menggalas dosa org lain. Aliyah sayangkan Abang...

2. Aliyah ada mengajak dia memasak. Memang pandai dia masak, apatah lagi western food. Tapi, Aliyah sayangkan Abang. Aliyah tahu selera Abang hanya pada lauk pauk kampung. Tapi tak tahulah pula Aliyah kalau-kalau selera Abang sudah berubah. Tapi, Aliyah masih ingat lagi, masa kita sekeluarga singgah di sebuah restoran western food, Abang muntahkan semua makanan western food tu. Lagi satu, anak-anak kita semuanya ikut selera ayah mereka. Kesian nanti, tak makan la pula anak-anak kita. Aliyah sayangkan Abang...

3. Aliyah ada mengajak dia solat berjemaah. Kelam kabut dibuatnya. Aliyah minta dia jadi Imam. Yelah, nanti dia akan menjadi ibu pada zuriat Abang yang lahir, jadinya Aliyah harapkan dia mampu untuk mengajar anak-anak Abang untuk menjadi imam dan imamah yang beriman. Tapi, kalau dia sendiri pun kelam kabut memakai telekung... Aliyah sayangkan Abang...

Abang yang disayangi, cukuplah rasanya penilaian Aliyah. Kalau diungkap satu persatu, Aliyah tak terdaya. Abg lebih memahaminya. Ini penilaian selama 1 hari, Abang mungkin dapat membuat penilaian yang jauh lebih baik memandangkan Abang mengenalinya lebih dari Aliyah mengenalinya.

Abang yang dicintai, di dalam sampul ini ada borang keizinan berpoligami. Telah siap Aliyah tandatangan. Juga sekeping tiket penerbangan MAS ke Sarawak. Jika munajat Abang di Masjid Putra mengiayakan tindakan Abang ini, ambillah borang ini, isi dan pergilah kepada Qistina. Oh ya, lupa nak cakap, Qistina telah berada di Sawarak. Menunggu Abang... Aliyah sayangkan Abg...

Tetapi jika Abg merasakan Qistina masih belum cukup hebat untuk dijadikan isteri Abang, pergilah cari wanita yang setanding dengan Aliyah... Aliyah sayangkan Abg.

Tetapi, jika Abg merasakan Aliyah adalah isteri yang hebat untuk Abangg.. tolonglah bukakan pintu bilik ni. Aliyah bawakan sarapan kegemaran Abang, roti canai.. air tangan Aliyah.

Salam sayang, Aliyah Najihah binti Mohd Hazery.

10.3.09

Seindah Hiasan


Wanita

1- Wanita auratnya lebih susah dijaga berbanding lelaki.

2- Wanita perlu meminta izin dari suaminya apabila mahu keluar rumah tetapi tidak sebaliknya.

3- Wanita saksinya kurang berbanding lelaki.

4- Wanita menerima pusaka kurang dari lelaki.

5- Wanita perlu menghadapi kesusahan mengandung dan melahirkan anak.

6- Wanita wajib taat kepada suaminya tetapi suami tak perlu taat pada isterinya.

7- Talak terletak di tangan suami dan bukan isteri.

8- Wanita kurang dalam beribadat kerana masalah haid dan nifas yg tak ada pada lelaki.

Pernahkah kita lihat sebaliknya??

- Benda yg mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan di tempat yg tersorok dan selamat. Sudah pasti intan permata tidak akan dibiar bersepah-sepah bukan? Itulah bandingannya dengan seorang wanita.

- Wanita perlu taat kpd suami tetapi lelaki wajib taat kepada ibunya 3 kali lebih utama dari bapanya. Bukankah ibu adalah seorang wanita?

- Wanita menerima pusaka kurang dari lelaki tetapi harta itu menjadi milik peribadinya dan tidak perlu diserahkan kepada suaminya. Manakala lelaki menerima pusaka perlu menggunakan hartanya utk menyara isteri dan anak anak.

- Wanita perlu bersusah-payah mengandung dan melahirkan anak tetapi setiap saat dia didoakan oleh segala haiwan, malaikat dan seluruh makhluk ALLAH di mukabumi ini dan matinya jika kerana melahirkan adalah syahid kecil. Manakala dosanya diampun ALLAH (dosa kecil).

- Di akhirat kelak, seorang lelaki akan dipertanggungjawabkan terhadap 4 wanita iaitu isterinya, ibunya, anak perempuannya dan saudara perempuannya. Manakala seorang wanita pula, tanggungjawab terhadapnya ditanggung oleh 4 org lelaki iaitu suaminya, ayahnya, anak lelakinya dan saudara lelakinya.

- Seorang wanita boleh memasuki pintu Syurga melalui mana-mana pintu Syurga yg disukainya cukup dgn 4 syarat sahaja iaitu Sembahyang 5 waktu, Puasa di bulan Ramadhan, Taat suaminya dan Menjaga kehormatannya (betulkan jika saya tersilap).

- Seorang lelaki perlu pergi berjihad fisabilillah tetapi wanita jika taat akan suaminya serta menunaikan tanggungjawabnya kepada ALLAH akan turut menerima pahala seperti pahala org pergi berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata.

MasyaALLAH... sayangnya ALLAH pada wanita ... .kan?


kalendar masihi ke hijrah @ isu hangat
Sekarang ni orang Islam dah tak berapa nak kisahkan kalendar Hijrah. Bukan nak kata orang lain, saya sendiri pun sama.

Sedangkan kalendar Islamlah yang banyak memberitahu tarikh-tarikh penting yang sepatutnya kita peka supaya tidak ketinggalan amalan-amalan yang sepatutnya.

Malah kita sendiri terlupa nama-nama bulan dalam Islam. Terpaksa nyanyi lagu Raihan untuk refresh kembali. Malunya.

Ok tujuan saya berbicara pasal bulan Islam ini ialah untuk berkongsi perisian yang menukar tarikh omputih ke tarikh Hijrah. Walaupun tidak dinyatakan secara nama-nama bulan (terpaksa nyanyi lagu Raihan huhu) , perisian ini menukar tarikh Hijrah ke Masihi dan sebaliknya secara automatik.

Boleh download di SINI

Semoga bermanfaat..

mEh baCa samE-sAmE

SEDIHNYA………………….


For those yang bergelar ibu dan anak yg masih mempunyai ibu..Kasih dan sayang ibu sentiasa berkekalan....doakan kepada mereka ...bg yg sudah pergi meninggalkan mereka...basahkan bibirmu dgn doa2 daripada anak2 yg soleh n solehah kepda mereka.....

--
IBU MISALI

OLEH NORHASHIMAH HASHIM


PENERIMA ketiga berjalan perlahan-lahan turun dari pentas. Di lehernya, telah terkalung pingat "Ibu Misali". Tangan kanannya menggenggam erat satu sampul dan segulung sijil. Tangan kirinya pula memegang beberapa hadiah iringan. Anaknya setia melangkah di sisi.

"Sekarang ...," suara pengacara majlis bergema kembali, "Tibalah kita kepada penerima anugerah "Ibu Misali" yang terakhir. Penerima ini agak lain daripada yang lain dan sungguh istimewa. Untuk itu, dipersilakan Puan Afifah Rashid naik ke pentas bersama- sama Cik Nurul Humairah, untuk tampil memperkenalkan ibunya. Dipersilakan. "

Mataku tercari-cari pasangan ibu dan anak yang bakal mengambil tempat itu. Di barisan penonton paling hadapan, aku dapati seorang anak gadis berkulit hitam manis dan bertubuh tinggi lampai, sedang berusaha memujuk seorang wanita dalam lingkungan usia 60-an untuk bangun.

Aneh, kenapa ibu yang seorang ini nampaknya begitu keberatan untuk naik ke pentas? Kenapa dia tidak seperti tiga orang penerima sebelumnya, yang kelihatan begitu bangga menapak naik ke pentas, sebaik sahaja mereka dijemput?

Hampir lima minit kemudian, barulah tampak si anak gadis yang memakai sepasang kebarung bertanah ungu dan berbunga merah jambu serta bertudung ungu kosong, bersusah payah memimpin ibunya naik ke pentas.

Ibu itu pun menduduki kerusi yang telah diduduki oleh tiga orang penerima sebelumnya. Anak gadis itu kemudiannya beredar ke pembesar suara. Dia beralih pandang kepada ibunya yang hanya tunduk memerhati lantai pentas.

'Pelik sungguh ibu yang seorang ini. Lagaknya bukan lagak orang yang akan menerima anugerah. Dia tak ubah seperti seorang pesalah yang sedang menanti hukuman. Duduknya serba tak kena. Sekejap beralih ke kanan, sekejap berpusing ke kiri. Tangannya menggentel-gentel baju kurung biru muda yang dipakainya.'

Dehem si anak dalam pembesar suara membuat aku sedikit tersentak.

Tumpuanku yang sekian lama terhala ke pentas, aku alihkan pada buku notaku. Aku menconteng-conteng helaian yang masih putih bersih itu untuk memastikan penku dalam keadaan yang baik. Kemudian, aku memeriksa kameraku. Filemnya masih ada. Baterinya masih dapat bertahan.

Sempat juga aku mengerling rakan-rakan wartawan dari syarikat akhbar dan majalah lain yang duduk di kiri kananku. Nampaknya, pen sudah berada dalam tangan masing-masing. Mata mereka sudah terarah kepada ibu di atas pentas dan anak yang sudah pun memulakan bicaranya dengan bismillah dan, memberi salam.

Aku tersenyum dan mengangguk kepada rakan- rakan wartawan yang duduk semeja denganku. Tetapi, senyuman dan anggukanku sudah tidak sempat mereka balas. Aku lantas mengemaskan dudukku mencari posisi yang paling selesa.

"Pertama sekali, saya ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah, kerana dengan izin-Nyalah saya dan, mak berada dalam majlis yang gilang-gemilang ini. Seterusnya, saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada pihak penganjur yang telah mempertimbangkan mak saya sebagai, salah seorang penerima anugerah "Ibu Misali" tahun ini."


Suasana menjadi sunyi. Hadirin memberi tumpuan sepenuhnya kepada percakapan gadis itu.

"Sebetulnya, ketika saya kecil, saya memang membenci mak. Darjah kebencian itu meningkat setelah saya mendapat tahu Puan Afifah hanyalah mak angkat saya. Pada masa yang sama, saya merasakan sayalah anak yang paling malang , disisihkan oleh ibu sendiri, dan diperhambakan pula oleh mak angkat untuk membantu menjaga anak-anak kandungnya"


"Membantu menjaga anak- anak kandungnya? Mungkin, persoalan itu sedang pergi balik dalam benak tuan-tuan dan puan-puan sekarang. Persoalan itu pasti akan terjawab sebentar lagi, apakala saya mempertontonkan rakaman video yang memaparkan kehidupan anakanak kandung mak. Sebelum itu, saya harus menegaskan bahawa anak-anak yang bakal hadirin lihat nanti bukan terdiri daripada doktor, peguam, jurutera, pensyarah, ahli perniagaan, pemimpin masyarakat, dan guru, seperti mana anak ketiga-tiga "Ibu Misali" yang baru menerima anugerah sebentar tadi."

Suara hadirin yang kehairanan mula kedengaran.

"Inilah dia abang-abang dan kakak- kakak saya!" suara hadirin semakin kedengaran. Mereka tidak dapat membendung rasa kekaguman.

"Yang mengeluarkan berbagai-bagai bunyi itu, Abang Long. Yang sedang merangkak ke sana ke mari itu, ialah Kak Ngah. Yang sedang mengesot ke ruang tamu itu, ialah Abang Alang. Yang sedang berjalan sambil berpaut pada dinding itu, ialah Kak Anjang. Yang sedang berjalan jatuh dari dapur ke dalam bilik itu, ialah Abang Andak."

"Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan saksikan, tahap kecacatan fizikal dan mental abangabang dan, kakak-kakak saya tidak sama. Daripada yang tidak boleh bercakap dan bergerak langsung, seperti bayi yang baru lahir hinggalah kepada yang boleh berjalan jatuh dan, bercakap pelat-pelat, seperti budak berumur satu atau, dua tahun."

Hadirin yang sebentar tadi bingit suaranya kini terdiam kembali. Mereka menonton video yang sedang ditayangkan itu dengan khusyuknya.

"Untuk pengetahuan semua, abang-abang dan kakak-kakak saya, telah menjangkau usia 20-an dan, 30-an. Namun, meskipun telah dilatih dengan sungguh-sungguh, mereka masih belum pandai mengurus makan minum dan berak kencing mereka sendiri. Lihatlah betapa sukarnya mak hendak melayan makan dan, pakai mereka."

"Sewaktu saya berusia enam atau, tujuh tahun, saya sering mencemburui abang-abang, dan kakak-kakak kerana mereka, mendapat perhatian istimewa daripada mak. Saya iri hati melihat mak memandikan mereka. Saya sakit hati melihat mak menyuap mereka. Sedang saya disuruh buat semua itu sendiri."

"Mirah dah besar, kan ? Mirah dah boleh uruskan diri Mirah sendiri, kan ?" Lembut nada suara mak tiap kali dia memujuk saya. Namun, kelembutan itu telah menyemarakkan api radang saya

"Tapi, mak tak adil!" Saya kerap membentak. "Mak buat segalagalanya untuk kakak- kakak dan abang- abang. Kalau untuk Mirah, mak selalu berkira!"

"Mirah, abang-abang dan kakak-kakak Mirah tidak secerdas Mirah. Mereka cacat!" Berkali-kali mak menegaskan kepada saya. "Sebab itulah mak terpaksa membantu mereka."


"Mereka cacat apa, mak?" Saya membeliakkan mata kepada mak. "Semua anggota mereka cukup. Kaki dan tangan mereka tidak kudung. Mata mereka tidak buta. Yang betulnya, mereka malas, mak!"

"Mirah ... Mirah belum faham, sayang." Suara mak akan menjadi sayu tiap kali dia mempertahankan kakak-kakak dan abang-abang saya. Tetapi, kesayuan itu tidak pernah mengundang rasa simpati saya.

"Apabila difikirkan kembali, saya merasakan tindakan saya itu terlalu bodoh. Abang-abang dan kakak-kakak tak pernah kacau saya. Mak pun cuma sekali-sekala saja meminta bantuan saya menyuapkan mereka makan atau menukar kain lampin mereka. Itu pun saya tidak pernah ikhlas menolong.
Saya akan merungut tidak henti-henti sepanjang masa saya melakukan itu. Jika makanan yang saya suap tumpah atau jika abang-abang dan kakak-kakak terkencing atas tangan saya, ketika saya sedang menyalin kain lampin mereka, tangan saya ringan saja mencubit atau menampar mereka. Saya tahu mereka tidak pandai mengadu perbuatan jahat saya kepada mak. Ketika itu, memang saya langsung tidak punya rasa hormat kepada abang-abang dan kakak-kakak. Kepada saya, kehadiran mereka menyusahkan hidup saya."

"Hantarlah abang-abang dan kakak-kakak ke rumah kebajikan, mak." Saya pernah mengusulkan kepada mak, ketika saya berusia sepuluh tahun.
"Lepas itu, mak dan ayah boleh hidup senang-lenang macam mak dan ayah orang lain. Mirah pun takkan rasa terganggu lagi."

"Mereka anak-anak mak, Mirah. Jadi, maklah yang patut jaga mereka, bukan petugas-petugas di rumah kebajikan." Begitu reaksi mak setiap kali saya mencadangkan hal itu.

"Saya langsung tidak menghormati, apatah lagi mengagumi pendirian mak.
Mak memang sengaja menempah masalah. Mak tidak menghargai jalan keluar yang telah sedia terentang di hadapannya."

"Rasa geram dan marah saya sampai ke puncaknya, semasa saya berusia dua belas tahun. Pada hari itu, mak demam teruk hingga tidak dapat bangun. Ayah terpaksa ambil cuti untuk membawa mak ke klinik. Lalu, saya ditinggalkan untuk menjaga abang-abang dan kakak-kakak di rumah.
Sebelum meninggalkan rumah, biarpun dalam keadaan yang lemah, berkali-kali mak sempat berpesan kepada saya, agar jangan lupa memberi abang-abang dan kakak-kakak makan, dan menukar kain lampin mereka."

Suasana dewan terus sunyi. Hadirin masih khusyuk mendengar cerita gadis itu.

"Itulah kali pertama saya ditinggalkan bersama-sama abang-abang dan kakak-kakak, selama lebih kurang lima jam. Jangka masa itu cukup menyeksakan. Kebetulan pada hari itu, abang-abang dan kakak-kakak benar-benar mencabar kesabaran saya. Entah mengapa Abang Long enggan makan. Jenuh saya mendesaknya. Abang Alang dan Kak Ngah pula asyik mencirit saja. Letih saya menukar kain lampin mereka. Abang Andak pula, asyik main air ketika saya memandikannya. Basah lencun baju saya dibuatnya. Kak Anjang pula, asyik sepahkan nasi dan tumpahkan air.
Penat saya membersihkannya. "


"Apabila mak dan ayah pulang, saya sudah seperti kain buruk, tubuh saya lunyai. Saya sudah tidak berupaya melihat muka mak dan ayah. Saya terus melarikan diri ke rumah ibu kandung saya, yang terletak di sebelah rumah mak. Begitulah lazimnya. Apabila fikiran saya terlalu kacau, saya akan ke rumah ibu untuk mencari ketenangan."

"Ibu!" Saya menerpa masuk lalu memeluk ibu. "Kenapa ibu bagi Mirah kepada mak? Kalau ya pun ibu tidak suka Mirah, bagilah Mirah pada orang lain yang lebih menyayangi Mirah, bukan mak."

"Mirah!" Ibu merangkul saya. " Kan dah berkali-kali ibu tegaskan yang ibu bagi Mirah kepada mak bukan kerana ibu tak sayang Mirah."

"Lazimnya ibu akan membuka kembali lipatan sejarah hidupnya apabila situasi itu berlaku. Ibu ialah kakak mak. Ibu sakit teruk setelah melahirkan saya. Selama berbulan-bulan ibu terlantar di hospital, mak yang telah menjaga saya. Setelah ibu sembuh, ibu dapat lihat sendiri betapa gembiranya mak dapat menjaga seorang anak normal.

Justeru, ibu tidak sampai hati hendak memisahkan kami."

"Ibu telah berasa betapa nikmatnya menjaga tujuh orang anak yang pintar dan cerdas. Jadi, biarlah nikmat itu turut dirasakan oleh mak pula dengan menjaga Mirah. Lagipun, dengan menyerahkan Mirah kepada mak, ibu masih dapat melihat Mirah membesar di hadapan mata ibu, walaupun Mirah tinggal bersama-sama mak. Dari pemerhatian ibu, ibu rasa, mak lebih menyayangi Mirah berbanding dengan anak anaknya yang lain."

"Sayang apa? Ibu tahu tak yang rumah tu macam neraka bagi Mirah? Ibu tahu tak yang Mirah ni tak ubah seperti hamba di rumah tu?"

"Jangan besar-besarkan perkara yang kecil, Mirah. Ibu tahu sekali-sekala saja mak membebankan Mirah dengan kerja-kerja rumah dan tugas menjaga abang-abang dan kakak-kakak Mirah. Itu pun Mirah buat tidak sesungguh hati. Nasi mentahlah, lauk hanguslah, abang-abang, dan kakak-kakak kena lempanglah."

"Mak adu semua kepada ibu, Ya?" Saya masih mahu berkeras meskipun saya tahu saya bersalah.

"Mak jarang-jarang mengadu keburukan Mirah kepada ibu. Ibu sendiri yang kerap mengintai Mirah dan melihat bagaimana Mirah melaksanakan suruhan mak."

"Saya tunduk. Saya sudah tidak sanggup menentang mata ibu."

"Ibu malu, Mirah. Ibu mengharapkan kehadiran Mirah di rumah mak kau itu dapat meringankan penderitaan mak.

Tetapi, ternyata kehadiran Mirah di rumah itu menambahkan beban mak."

"Saya benar-benar rasa terpukul oleh kata-kata ibu."

"Ibu rasa, apa yang telah mak beri kepada Mirah, jauh lebih baik daripada apa yang diberi kepada anak-anaknya sendiri. Mirah dapat ke sekolah. Kakak-kakak dan abang-abang Mirah hanya duduk di rumah. Mirah dapat banyak pakaian cantik. Sedang anak-anak mak yang lain pakaiannya itu-itulah juga. Setiap kali Mirah berjaya dalam peperiksaan, mak sungguh gembira. Dia akan meminta ibu tolong menjaga abang-abang dan kakak-kakak kerana dia nak lihat Mirah terima hadiah."

"Saya tidak sanggup mendengar kata-kata ibu selanjutnya, bukan kerana saya tidak mengakui kesalahan saya, tetapi kerana saya benar-benar malu."

"Saya meninggalkan rumah ibu bukan kerana berasa tersisih daripada ibu kandung sendiri, atau berasa kecewa sebab tidak mendapat pembelaan yang diharap- harapkan. Saya meninggalkan rumah ibu dengan kesedaran baru." "Sesampainya saya ke rumah tempat saya berteduh selama ini,saya dapati mak yang belum sembuh betul sedang melayan kerenah abang-abang dan kakak-kakak dengan penuh sabar. Saya terus menghilangkan diri ke dalam bilik kerana saya dihantui oleh rasa bersalah. Di dalam bilik, saya terus resah-gelisah. "

"Mirah," panggilan lembut mak seiring dengan bunyi ketukan di pintu bilik saya. "Mirah."

"Saya cepat-cepat naik ke atas katil dan memejam mata, pura-pura tidur."

"Sejurus kemudian, terdengar bunyi pintu bilik saya dibuka. "Mirah dah tidur rupa-rupanya! Kesian. Tentu Mirah letih menjaga abang-abang dan kakak- kakak semasa mak, ke klinik siang tadi. Maafkan mak, sayang. Mak tahu Mirah masih terlalu muda untuk memikul beban seberat itu. Tapi, keadaan benar- benar terdesak pagi tadi, Mirah. Mak janji, lain kali mak tak akan kacau Mirah lagi. Mak akan meminta ibu atau orang lain menjaga abang- abang dan kakak-kakak kalau mak terpaksa tinggalkan rumah"

Sepanjang mak berkata-kata itu, tangan mak terus mengusap-usap dahi saya. Suara mak tersekat-sekat. Saya terlalu ingin membuka mata dan menatap wajah mak ketika itu.

"Mirah, mak tahu Mirah tak bahagia tinggal bersama-sama mak."

Suatu titisan air mata gugur di atas dahi saya. Kemudian, setitik lagi gugur di atas pipi saya. Selepas itu, titisan-titisan itu kian rancak gugur menimpa serata muka dan leher saya.

"Walau apa pun tanggapan Mirah kepada mak, bagi mak, Mirah adalah segala-galanya. Mirah telah menceriakan suasana dalam rumah ini. Mirah telah menyebabkan mak berasakan hidup ini kembali berharga. Mirah telah. .."

"Mak!" Saya lantas bangun lalu memeluk mak. Kemudian, tiada kata-kata yang lahir antara kami. Yang kedengaran hanyalah bunyi sedu-sedan dan esak tangis.


Peristiwa pada hari itu dan, pada malamnya telah mengubah pandangan saya terhadap mak, abang-abang dan kakak-kakak. Saya mula merenung dan menilai keringat mak. Saya mula dapat menerima keadaan kakak- kakak dan abang- abang serta belajar menghormati dan, menyayangi mereka.

Keadaan dewan menjadi begitu sunyi seperti tidak berpenghuni sejak gadis itu berbicara.

Setelah meraih kejayaan cemerlang dalam peperiksaan penilaian darjah lima , saya telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah, di sebuah sekolah berasrama penuh. Saya telah menolak tawaran tersebut.

"Kenapa Mirah tolak tawaran itu?"

"Bukankah di sekolah berasrama penuh itu Mirah boleh belajar dengan sempurna?"

"Betul tu, Mirah. Di sana nanti Mirah tak akan berdepan dengan gangguan daripada abang-abang dan kakak-kakak! "

"Mirah tak menyesal ke, kemudian hari nanti?"

Bertubi-tubi mak dan ayah menyoal. Mata mereka tidak berkelip-kelip memandang saya.

"Mak, ayah." Saya menatap wajah kedua-dua insan itu silih berganti.

"Mirah ingin terus tinggal di rumah ini. Mirah ingin terus berdamping dengan mak, ayah, abang-abang dan kakak-kakak. "

"Tapi, boleh ke Mirah buat ulang kaji di rumah? Pelajaran di sekolah menengah itu, bukannya senang." Mak masih meragui keupayaan saya.

"Insya-Allah, mak. Mirah rasa, Mirah dapat mengekalkan prestasi Mirah semasa di sekolah menengah nanti," balas saya penuh yakin.

Mak dan ayah kehabisan kata-kata. Mulut mereka terlopong. Mata mereka terus memanah muka saya. Garis-garis kesangsian masih terpamer pada wajah mereka. Sikap mak dan ayah itu telah menguatkan azam saya untuk terus menjadi pelajar cemerlang, di samping menjadi anak dan adik yang baik.


Selama di sekolah menengah, mak sedapat mungkin cuba membebaskan saya daripada kerjakerja memasak dan mengemas rumah, serta tugas menjaga makan pakai abang-abang dan kakak-kakak kerana takut pelajaran saya terganggu. Sebaliknya saya lebih kerap menawarkan diri untuk membantu, lantaran didorong oleh rasa tanggungjawab dan timbang rasa.

Gadis yang bernama Nurul Humairah itu terus bercerita dengan penuh semangat, apabila melihatkan hadirin di dalam dewan itu mendengar ceritanya dengan penuh minat.

"Saya terpaksa juga meninggalkan rumah sewaktu saya melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia . Di sana saya membuat pengkhususan dalam bidang pendidikan khas. Bidang ini sengaja saya pilih kerana saya ingin menabur bakti kepada segelintir pelajar yang kurang bernasib baik. Di samping itu, pengetahuan yang telah saya peroleh itu, dapat saya manfaatkan bersama untuk abang-abang dan kakak-kakak. "

"Kini, telah setahun lebih saya mengharung suka duka, sebagai seorang guru pendidikan khas di kampung saya sendiri. Saya harus akui,segulung ijazah yang telah saya miliki tidak seberapa nilainya, berbanding dengan mutiara-mutiara pengalaman yang telah mak kutip sepanjang hayatnya."

"Sekarang, saya lebih ikhlas dan lebih bersedia untuk menjaga abang-abang dan kakak-kakak. Pun begitu, hati ini sering tersentuh apabila beberapa kali saya terdengar perbualan mak dan Ayah."

"Apa akan jadi kepada kelima-lima orang anak kita itu lepas kita tak ada, bang?" suara mak diamuk pilu.

Ayah akan mengeluh, kemudian berkata, "Entahlah. Takkan kita nak harapkan Mirah pula?"

"Mirah bukan anak kandung kita." Mak meningkah. "Kita tak boleh salahkan dia kalau dia abaikan abang-abang dan kakak-kakaknya."

"Mirah nak tegaskan di sini, mak, yang Mirah akan membela nasib abang-abang dan, kakak-kakak lepas mak dan ayah tak ada. Ya, memang mereka bukan saudara kandung Mirah. Tapi, tangan yang telah membelai tubuh Mirah dan tubuh mereka adalah tangan yang sama. Tangan yang telah menyuapkan Mirah dan mereka, juga tangan yang sama. Tangan yang memandikan Mirah dan mereka, adalah tangan yang sama, tangan mak."

Kelihatan gadis yang berkebarung ungu, berbunga merah jambu itu, tunduk sambil mengesat air matanya dengan sapu tangannya. Kebanyakan hadirin, khususnya wanita turut mengesat air mata mereka.

Gadis itu menyambung bicaranya. Tiga bulan lalu, saya terbaca mengenai pencalonan anugerah "Ibu Misali" dalam akhbar. Saya terus mencalonkan mak, di luar pengetahuannya. Saya pasti, kalau mak tahu, dia tidak akan merelakannya. Saya sendiri tidak yakin yang mak akan terpilih untuk menerima anugerah ini, sebab anak- anak mak bukan terdiri daripada orang-orang yang disanjung masyarakat, seperti lazimnya anak- anak "Ibu Misali" yang lain.

"Lorong dan denai kehidupan yang orang-orang seperti mak lalui mempunyai banyak duri dan, ranjau berbanding dengan ibu-ibu lain. Betapa keimanan mak tidak tergugat biarpun berdepan dengan dugaan yang sebegini hebat. Tiada rasa kesal. Tiada rasa putus asa. Tidak ada salah-menyalahkan antara mak dan ayah."

"Maafkan Mirah sekali lagi, mak. Hingga ke saat- saat terakhir tadi, mak masih tidak menyenangi tindakan Mirah mencalonkan mak, untuk menerima anugerah ini. Mak merasakan diri mak terlalu kerdil lebih-lebih lagi setelah mak mendengar pengisahan "Ibu Misali" pertama, kedua dan ketiga. Berkali-kali mak tegaskan yang mak menjaga anak-anak mak bukan kerana mahukan anugerah ini, tapi kerana anak-anak adalah amanah Tuhan."

"Saya ingin jelaskan di sini bahawa saya mencalonkan mak untuk anugerah ini, bukan dengan tujuan merayu simpati. Saya cuma berharap kegigihan dan ketabahan mak akan dapat direnung oleh ibu-ibu lain, terutama ibu-ibu muda yang senang-senang mendera dan mencampakkan anak mereka yang cornel, segar-bugar serta sempurna fizikal dan, mental."

"Sebagai pengakhir bicara, sekali lagi saya ingin merakam penghargaan saya kepada pihak penganjur, kerana telah mempertimbangkan mak saya sebagai salah seorang penerima anugerah "Ibu Misali" tahun ini. Semoga pemilihan mak ini akan memberi semangat baru kepada ibu-ibu lain yang senasib dengan mak."

"Sekian, wassalamualaikum warahmatullah. "

Gadis itu beredar meninggalkan pembesar suara.

Penku telah lama terbaring. Buku notaku telah lunyai dek air mataku sendiri. Bahuku dienjut-enjut oleh sedu- sedanku. Pandanganku menjadi kabur. Dalam pandangan yang kabur-kabur itu, mataku silau oleh pancaran cahaya kamera rakan semejaku. Aku segera mengangkat kameraku dan menangkap gambar secara rambang tanpa mengetahui sudut mana atau, apa sebenarnya yang telah menarik perhatian wartawan-wartanan lain.


'Bertenang. Kau di sini sebagai pemberita. Kau seharusnya berusaha mendapat skop yang baik, bukan dihanyutkan oleh perasaan kau sendiri.'
Terdengar pesanan satu suara dari dalam diriku.

Lantas, aku mengesat air mataku. Aku menyelak buku notaku mencari helaian yang masih belum disentuh oleh air mataku. Aku capai penku semula.

"Demikianlah kisah pelayaran seorang ibu di samudera kehidupan yang tidak sunyi dari ombak dan badai. Sekarang, dijemput Yang Berbahagia Puan Sri Salwa Najwa dengan diiringi oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan "Ibu Misali" untuk menyampaikan anugerah "Ibu Misali" serta beberapa hadiah iringan kepada Puan Afifah Rashid. Yang Berbahagia Puan Sri dipersilakan."

Nurul Humairah membantu maknya bangun. Kemudian, dia memimpin maknya melangkah ke arah Yang Berbahagia Puan Sri Salwa Najwa. Lutut maknya menggeletar. Namun begitu kerana dia tidak berdaya menahan perasaannya dia terduduk kembali di atas kerusi.

Melihatkan itu, Yang Berbahagia Puan Sri Salwa Najwa sendiri datang mendapatkan Puan Afifah, lalu mengalungkan pingat itu. Setelah itu, beliau menyampaikan beberapa hadiah iringan. Air mata Puan Afifah berladung.

Tepukan gemuruh bergema dari segenap penjuru dewan. Sejurus kemudian, seorang demi seorang penerima anugerah "Ibu Misali" sebelumnya, naik ke pentas bersalaman dan berpelukan dengan Puan Afifah. Bertambah lebatlah hujan air mata penerima anugerah "Ibu Misali" yang terakhir itu.