Wanita! Pastikan Arah Perjuanganmu?
Jangkaan saya agak meleset bahawa artikel poligami minggu lepas akan dibantah ramai wanita. Alhamdulillah, sebaliknya, ramai wanita yang menghantar email menyokong. Mereka cuma keliru dengan beberapa alasan yang dikemukakan oleh sesetengah ekstremis feminis yang membelasah itu poligami dalam Islam. Saya ingin jelaskan, alhamdulillah sesiapa yang mengikuti tulisan dan pandangan saya akan tahu sejak dahulu betapa saya mempertahankan hak-hak wanita khususnya di Malaysia.
Kita hendaklah jelas bahawa yang patut dikritik bukan hukam-hakam Islam, tetapi kerenah pengurusan atau birokrasi mereka yang diamanahkan menguruskan urusan orang Islam, terutama mahkamah yang dinamakan syariah yang menyusahkan wanita, menangguhkan kes-kes talak bertahun lamanya, yang sempit dalam pemikiran hukum, menyusahkan urusan perkahwinan yang halal dan lain-lain kerenah sehingga yang halal begitu sukar dicapai dibandingkan yang haram.
Salah urus perkara-perkara ini yang menzalimi hak umat Islam yang berkaitan urusan rumahtangga; lelaki dan wanita. Sehingga Islam menjadi kabur dan wanita menjadi prejudis dengan hukum-hakam syarak. Betapa ramai kaum wanita yang menghantar email dan surat kepada saya menceritakan kekecewaan mereka terhadap pengurusan yang bernama syariah. Mereka sebahagiannya termasuklah yang baru menganut Islam.
Pun begitu, kita lihat di Malaysia, ada jawatan-jawatan baru yang kurang perlu diwujudkan demi memberi tempat kepada ‘orang agama’ yang pencen. Sesiapa yang memerhati, akan dapat melihatnya. Ini berlaku, termasuk di badan-badan keagamaan yang penting termasuk kehakiman. Apabila agama dijadikan bagai urusan bisnes untuk kroni dan puak, maka hak orang awam terbengkalai. Sebab itu, saya kira patut dipuji Tun Mahathir di sudut beliau tidak mewujudkan jawatan besar untuknya apabila pencen.
Wanita! jika hendak berjuang, perjuanglah menghapuskan kerenah seperti ini, juga kesempitan fahaman mazhab atau fekah berkaitan wanita yang dipegang oleh kelompok agama ortodoks serta konservatif sehingga dipinggirkan hak wanita tanpa dalil. Ertinya, wanita hendaklah jelas apa yang patut perjuangkan. Saya telah sentuh hal ini banyak, sebahagiannya dalam buku saya ‘Mengemudi Bahtera Perubahan Minda’. Jangan pertikaikan atau ubah hukum-hakam syarak yang tetap. Syariat Allah sentiasa adil lagi saksama. Jangan salah tafsirkan nas-nas al-Quran atau sunnah hanya kerana hendak memenuhi perjuangan yang kabur, atau tuntutan yang tersilap.
Perjuangkan kerahmatan dan keluasan Islam yang Nabi s.a.w peruntukkan untuk wanita. Dalam artikel-artikel lepas, saya telah sebut hadis-hadis yang menggambarkan betapa baginda memerdekakan wanita dari kongkongan yang tidak wajar. Wanita diberi peluang untuk merongkaikan rumahtangga jika mereka rasa ia amat sengsara. Sehingga apabila isteri Thabit bin Qais datang dan berkata:
“Wahai RasululLah! Aku tidak mempertikaikan Thabit bin Qais di sudut akhlak dan agamanya. Namun aku membenci kekufuran dalam Islam. Maka RasululLah s.a.w pun bersabda: Mahukah engkau mengembalikan kebunnya? Jawabnya: “Ya”. Lalu RasululLah bersabda kepada Thabit: Ambillah kebunmu dan talakkanlah dia” (Riwayat al-Bukhari).
Demikian dalam riwayat al-Bukhari daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas, katanya:
Bahawa suami Barirah adalah seorang hamba bernama Mughith. Aku seakan masih terbayang dia mengikuti Barirah dari belakang serta menangis sehingga airmatanya mengalir atas janggutnya. Nabi s.a.w berkata kepada ‘Abbas: “Wahai ‘Abbas, tidakkah kau hairan melihat cintanya Mughith kepada Barirah dan bencinya Barirah kepada Mughith?”. Lalu Nabi s.a.w berkata (kepada Barirah): “Tidak mahukah jika engkau kembali kepadanya”. Barirah berkata: “Apakah engkau memerintahkanku?”. Nabi s.a.w bersabda: “Aku hanya mencadangkan”. Kata Barirah: “Aku tidak memerlukan dia”.
Dalam riwayat Abu Daud, disebut nasihat Nabi s.a.w kepada Barirah yang lebih jelas, di mana baginda bersabda:
“Wahai Barirah, bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya dia suamimu dan ayah anakmu”. Kata Barirah: “Apakah engkau memerintahkanku agar demikian?”. Nabi s.a.w bersabda: “Aku hanya mencadangkan”.
Dalam riwayat ini menunjukkan bahawa Nabi s.a.w tidak memaksa Barirah kembali kepada suaminya yang masih lagi berstatus ‘hamba sahaya’ sedangkan dia sudah mendapat taraf ‘merdeka’. Walaupun Nabi s.a.w sendiri yang bersimpati kepada Mughith sehingga mencadangkan agar Barirah menerimanya kembali sebagai suami, namun apabila Barirah menolak cadangan Nabi s.a.w, baginda tidak memurkainya. Inilah keluasan rahmat yang Nabi s.a.w telah tunjukkan buat kaum wanita.
Para ulama berbeza pendapat apakah ruang untuk kekal bersama suami itu hanya diberikan untuk wanita yang dimerdekakan sedangkan suaminya masih hamba, atau merangkumi setiap wanita yang mendapati suaminya sudah hilang kelayakan. Apa yang penting, Nabi s.a.w bukan seperti ‘pihak kaunseling sesetengah jabatan agama yang menyatakan “baliklah jangan menuntut talak, nanti tergugat Arasy Tuhanmu”. Padahal mereka yang malas membuka kes baru.
Masalah wanita pada mereka ini, bukan pada ajaran Nabi s.a.w; termasuklah bukan masalah itu pada poligami. Kata al-Imam `Izz al-Din `Abd al-Salam (meninggal 660H): dalam Qawa`id al-Ahkam fi Masalih al-Anam:
“Kita telah ketahui daripada sumber-sumber syarak bahawa tujuan (hukum-hakam) syarak ialah untuk kemaslahatan hamba-hambaNya di sudut agama dan akhirat mereka. Bukannya masaqqah (kesusahan dalam mengamalkan syariat) itu yang dimaksudkan dengan kemaslahatan, tetapi maksudnya ialah apa yang diperolehi hasil dari masaqqah tersebut. Ini sama seperti seseorang doktor yang menyuruh pesakitnya meminum ubat yang sangat pahit. Tujuannya hanyalah untuk mengubati”. (1/29, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).
Contohnya, semasa Perang Dunia Kedua (1939-45) hampir enam puluh juta manusia mati, kebanyakan mereka lelaki. Semasa peperangan Iran-Iraq, 82,000 wanita Iran dan 100,000 wanita Iraq menjadi janda. Belum dikira di Palestin, Bosnia, Iraq, Selatan Thai dan lain-lain. Dan dunia terus berperang. Maka, peratusan wanita dan lelaki dalam dunia juga tidak seimbang di atas berbagai faktor. Kaum wanita lebih ramai daripada lelaki. Ditambah lagi sebahagian lelaki yang ada, terlibat dengan jenayah dan ramai pula yang terlibat dengan dadah. Begitu juga yang meninggal kerana tugasan harian.
Jika bukan poligami itu satu penyelesaian, apakah kita ingin menyuruh jutaan wanita mengurung ‘naluri kewanitaannya’? Atau apakah kita ingin beritahu mereka; lebih baik bersuamikan lelaki penagih daripada seorang yang telah berstatus suami?. Katanya Dr. Yusuf al-Qaradawi:
“Inilah apa yang diraikan oleh Syariat Islam dalam persoalan poligami, ia telah menimbang antara segala kebaikan dan keburukan, segala manfaat dan mudarat, kemudiannya ia mengizinkannya kepada sesiapa yang perlu dan dikawal dengan syarat bahawa pengamalnya percaya terhadap dirinya bahawa dia dapat menjaga keadilan dan tidak takut berlakunya kezaliman dan berat sebelah. Firman Allah dalam Surah al-Nisa ayat 3: (maksudnya):“Jika kamu takut tidak berlaku adil maka hanya seorang isteri. (m.s 133-134).
Saya lihat, ada orang bukan Islam di Malaysia turut menyelar poligami kononnya tidak adil kepada wanita. Apakah dia lupa bahwa agama yang dianutinya itu sebenarnya menyuruh wanita yang menjadi janda dibakar bersama mayat suami. Ia dinamakan ‘Sati’. Itulah penyelesaian yang agamanya cadangkan untuk menyelamatkan janda dari keseorangan. Terima kasihlah dia kepada Inggeris yang menentang amalan sejak sekian lama di India. Sebenarnya, Islam di India telah lama menentang tradisi tersebut. Tudinglah jari ke warisan kononya itu, sebelum memperkatakan poligami.
Saya ingin beritahu para pejuang hak wanita, bahawa saya bersama anda dan perjuangan hak wanita, tetapi kita kena pastikan dahulu arah perjuangan itu!
No comments:
Post a Comment